suria

GST: Khalid Secara Peribadi Setuju

KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara peribadi menyokong pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), namun menganggap masanya belum sesuai.

Beliau berkata ia tidak sesuai dilaksanakan dalam tempoh terdekat berikutan pendapatan rakyat masih belum seimbang.

"Bukan masanya untuk laksanakannya kerana keadaan pendapatan (rakyat) sekarang tidak seimbang. Apabila cukai dikenakan, orang yang kurang berduit akan merasa beban," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Masjid Darul Ibadah di Ijok di sini, Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai perhimpunan yang membantah CBP di Dataran Merdeka semalam yang turut disertai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali, Naib Presiden PKR R. Sivarasa dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Kunci masjid diserahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Ahmad Zahrin Mohd Saad kepada nazir masjid Mohd Ngasmawi Mufti.

Masjid itu mula dibina pada 2012 dengan kos RM5.4 juta dan ia siap pada 10 Januari lalu. 


Artikel Lain