suria

Parol Harian Pendekatan Baharu Pulih Banduan – Pakar

Penolong Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Negeri Selangor Jabatan Penjara, Ketua Inspektor Sukur Noordin (dua, kiri) dan Penyelia Rumah Perantaraan Negeri Selangor, Abdul Salam Mohd Abdullah (kiri) mengadakan sesi motivasi bersama dua 'Orang Di Parol' di rumah perantaraan.

PETALING JAYA: Cadangan untuk melaksanakan sistem parol harian mendapat sokongan pelbagai pihak apabila ia disifatkan sebagai pendekatan baharu bagi pemulihan banduan di luar penjara.

Presiden Lembaga Kesedaran dan Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, sistem parol harian itu mempelbagaikan peluang kepada banduan yang akan dibebaskan selepas menjalani hukuman mereka.

“Ini akan membantu mereka untuk melakukan perubahan sikap dengan lebih baik dan terancang. Sistem parol harian dilihat sebagai sebahagian proses pemulihan banduan dan persediaan buat mereka untuk bersama masyarakat,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Dr Saharuddin Awang Yahya
Saharuddin Awang Yahya.

Laporan eksklusif mStar Online mengetengahkan cadangan Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Jabatan Penjara untuk menambahbaik sistem parol dengan memberi banduan yang mendapat pelepasan menerusi perintah parol atau ‘Orang Di Parol’ (ODP) bebas keluar masuk penjara setiap hari untuk bekerja.

Pengarah bahagian berkenaan, Timbalan Komisioner Abdul Aziz Mohamad berkata, cadangan itu bagi memberi lebih ruang kepada banduan menjalani proses pemulihan di luar penjara.

Menerusi sistem parol harian, ODP akan diberi kemudahan tempat tidur seakan asrama di kawasan penjara, tetapi tidak akan bercampur bersama banduan lain yang masih menjalani hukuman penjara. Seramai 7,843 ODP direkodkan sejak sistem parol dilaksanakan pada 2008.

Sementara itu, Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, sistem parol harian itu boleh diaplikasikan dengan menumpukan banduan yang melakukan kesalahan atau jenayah kecil.

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan tersebut mampu mengurangkan kesesakan banduan di penjara sekali gus mengurangkan kos pengurusan.

“Namun apa yang lebih penting sekiranya sistem parol harian ini dilaksanakan, kita akan melihat sejauh mana keberkesanannya dalam mencapai objektif terutama dari aspek pemulihan banduan,” tambahnya lagi.

Bagi penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, penerapan positif yang dicadang menerusi sistem parol harian dialu-alukan untuk memulihkan banduan.

Kamal Affendi Hashim.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan itu perlu memastikan pegawai parol mengawasi ODP  sewajarnya kerana ia melibatkan pergerakan keluar masuk di kawasan penjara termasuk di luar penjara.

“Kita mahu mereka (ODP) diawasi sebagaimana yang dilakukan oleh sistem parol sedia ada. Kita kena pastikan lebih ramai antara mereka benar-benar berubah yang lebih baik dan bukan memberi kesan sebaliknya,” katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Lain