suria

2 Ditahan, 3 Diburu Kes Kurung Wanita

KUANTAN: Dua lelaki diberkas polis, manakala tiga lagi masih diburu kerana disyaki mengurung serta mencederakan seorang wanita di sebuah rumah di Bukit Istana di sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di sekitar bandar ini, selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki, pada 1 tengah hari Khamis.

"Polis yang ke lokasi kejadian menemui wanita terbabit yang berusia 20-an, dalam keadaan selamat, namun mengalami sedikit kecederaan di tangan dan badannya dan dia kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan," katanya selepas menutup Kursus Pasukan Cantas Wanita Kontinjen Pahang di sini, Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang turut terlibat dalam beberapa kes samun di sini, marah dengan mangsa yang didakwanya membocorkan maklumat kegiatan jenayah mereka kepada polis.

Sharifuddin berkata, mangsa juga didapati mengenali dan berkawan dengan seorang daripada suspek terbabit.

"Kita sudah mengenal pasti tiga lagi suspek terbabit dan akan menahan mereka pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Mangsa dilaporkan hilang serta tidak balik ke rumah sejak tiga hari lalu oleh ibunya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Khamis.


Artikel Lain