suria

Hudud: MCA Cabar DAP Halang PAS

PETALING JAYA: DAP sepatutnya menghalang PAS daripada membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian (Hukum Hudud) di Parlimen, bukan mencabar MCA supaya meminta Umno menolak hukum itu, kata Datuk Dr Wee Ka Siong.

Timbalan Presiden MCA itu turut mengkritik penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tidak berhadapan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila parti itu berulang kali memaklumkan akan melaksanakan hudud.

"Kit Siang cuba mengalih pandangan ramai dengan mencabar MCA dan seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab berkaitan isu undang-undang hudud mendedahkan sikap hipokrit parti.

"Selain menuduh MCA, DAP yang mempunyai Ahli Parlimen paling ramai dalam Pakatan Rakyat juga gagal menghalang PAS daripada membentangkan rang undang-undang itu," katanya di sini, Khamis.

Dr Wee berkata, hanya satu cara untuk menangani isu berkenaan, iaitu menerusi tindakan DAP menghalang PAS daripada membentangkan rang undang-undang itu.

"MCA akan menghalang sebarang cubaan yang boleh menjejaskan Perlembagaan Persekutuan dan semangat kerjasama bagi menyatupadukan serta membangunkan negara ini.

"Kami juga mengambil pendirian tegas berhubung hudud, malahan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau sudah memaklumkan kepada Umno mengenainya dan meminta Umno supaya tidak menyokong perundangan itu," katanya.

Sebelum ini, Tiong Lai menegaskan MCA akan tetap mengambil tindakan menghalang PAS daripada membentangkan rang undang-undang itu  termasuk melalui perundangan jika perlu.

Beliau berkata, MCA menghormati Islam sebagai agama rasmi tetapi adalah penting bagi PAS untuk memahami perasaan dan pandangan orang bukan Islam di negara ini yang majoritinya menolak hudud.


PAS, DAP, MCA, hudud, Parlimen

Artikel Lain