suria

Malaysia Tekad Bantu Palestin

KUALA LUMPUR: Malaysia tetap berikrar membantu rakyat Palestin mewujudkan rangka kerja untuk mentadbirkan sebuah negara Palestin yang berdaulat.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hussein Haniff berkata Malaysia menyambut baik keputusan kepimpinan Palestin untuk menerima 15 konvensyen antarabangsa.

"... dan kami mengulangi komitmen berterusan kami untuk menyokong usaha Palestin bagi mendapat pengiktirafan diplomatik dan undang-undang dalam PBB dan pertubuhan antarabangsa yang lain," kata beliau.

Hussein berkata demikian dalam kenyataan pada perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai 'Keadaan di Timur Tengah termasuk Soal Palestin' di New York pada Rabu.

Hussein berkata Malaysia terus komited ke arah pelaksanaan inisiatif yang diiktiraf antarabangsa seperti Inisiatif Damai Arab, Perjanjian Oslo dan Peta Jalanan Kuartet dan resolusi Majlis Keselamatan.

"Kita sekarang menyaksikan perjalanan yang signifikan dalam proses damai Timur Tengah. Rakyat Palestin berganding bahu dalam semangat perpaduan dan kepimpinan mereka sedang melipatgandakan usaha ke arah kemerdekaan," katanya.

Hussein berkata sebaliknya Israel menghantar isyarat berbahaya bahawa ia tidak bersedia untuk berdamai dan mengambil tindakan provokasi dan haram di kawasan yang diduduki.


Malaysia, Palestin, PBB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bengkel Kereta Hangus

Artikel Lain