suria

Obama Lancar MaGIC Pada Ahad

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dijangka melancarkan Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya pada Ahad ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menemani Obama pada majlis itu.

Penubuhan MaGIC telah diumumkan Najib pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) di sini pada tahun lepas.

MaGIC bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan, daripada mendapatkan pembiayaan dari bank-bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan mereka.

Pusat itu juga akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menyediakan kemudahan untuk latihan, bimbingan dan mentor.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah baru-baru ini berkata, terdapat sembilan program yang telah diwujudkan di bawah MaGIC untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan belia.

"Objektif MaGIC ialah kita mahu dapat mewujudkan satu ekosistem di mana orang ramai, terutamanya golongan belia melihat peluang untuk mempunyai perniagaan sendiri, daripada bekerja dengan orang lain.

"Ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan negara tetapi juga akan membawa syarikat-syarikat asing ke sini untuk melabur dalam syarikat-syarikat mereka," kata Irwan, yang juga Pengerusi MaGIC.

GES diilhamkan oleh Obama sendiri.

Presiden itu tidak dapat menghadiri sidang kemuncak berkenaan pada Oktober lepas kerana beliau perlu menangani isu penutupan sebahagian operasi kerajaan persekutuan AS.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry yang mewakili beliau pada sidang kemuncak itu berkata Presiden akan mengunjungi Malaysia tidak lama lagi.

Dan kini Obama akan menunaikan janji beliau kerana akan berada di Malaysia untuk lawatan tiga hari, bermula 26 April, sebagai sebahagian lawatan ke empat negara Asia iaitu Korea Selatan, Jepun dan Filipina.

Obama dijadual tiba di sini pada petang Sabtu, lawatan pertama oleh Presiden AS yang dalam perkhidmatan dalam tempoh 48 tahun sejak lawatan Presiden Lyndon Johnson pada 1966.
Obama, Malaysia, MaGIC

Artikel Lain