suria

Bot Tempatan Disyaki Terlibat Dalam Kejadian Samun Kapal Tangki Jepun

SHAH ALAM: Sebuah bot tempatan disyaki terbabit dalam kejadian kapal tangki Jepun, Naniwa Maru 1 yang disamun lapan penjenayah di perairan Pelabuhan Klang dekat Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, awal pagi Selasa lepas.

Ketua Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM), Kapten Christopher Dass berkata berdasarkan siasatan melalui paparan pengesanan laut pada Sistem Pengawasan Laut mendapati, terdapat sebuah bot tempatan berada pada kedudukan sama dengan kapal tangki terbabit ketika kejadian itu. 

Beliau juga berkata terdapat pergerakan dari bot itu namun enggan mendedahkan lokasi bot berkenaan selepas ia beredar dari tempat kejadian. 

"Kita telah meneliti paparan pengesanan laut dan kita mengesyaki terdapat sebuah bot tempatan terbabit dalam kejadian itu. Bagaimanapun, kita masih mengenal pasti pemilik bot terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, 22 April lepas, Naniwa Maru 1 yang membawa 18 kru dan muatan 4.5 juta liter minyak diesel dari Singapura menuju ke Yangoon, Myanmar dilaporkan disamun lapan lelaki disyaki warga Indonesia yang bersenjatakan dua pucuk pistol dan sebilah parang.

Penjenayah terbabit melarikan minyak diesel hampir tiga juta liter, peralatan komunikasi dan barangan persendirian termasuk sejumlah wang tunai milik kru kapal terbabit.

Tiga kru kapal yang memegang jawatan penting termasuk Ketua Jurutera turut dilarikan dan siasatan awal mendapati terdapat kemungkinan tiga kru terbabit bersubahat dalam kejadian itu. 

Mengenai perkembangan siasatan, Dass berkata pihaknya masih belum selesai mengambil keterangan kru kapal yang terdiri daripada 10 warga Thailand, tujuh warga Indonesia dan seorang warga India.

Beliau berkata Unit Forensik APMM juga sedang menjalankan siasatan di kapal itu bagi mengambil kesan cap jari. 

"Setakat ini kita sudah mengambil keterangan jurutera kedua, pegawai kedua dan antara tiga hingga empat orang kru. 

"Saya juga difahamkan pemilik kapal tangki itu di Singapura telah melantik ejen untuk berurusan dengan kita dan empat wakil kedutaan Indonesia juga sudah datang ke kapal ini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu," katanya.

Ditanya mengenai tempoh kapal tangki itu akan berlabuh, Dass berkata ia bergantung kepada siasatan dan pelantikan master kapal yang baru.
diesel, samun, Naniwa Maru 1

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain