suria

Kerajaan Negeri Biayai Sebahagian Bil Hospital Ho Leng

Wong Ho Leng
KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak akan membantu keluarga anggota Dewan Undangan Negeri bagi Bukit Assek Wong Ho Leng membiayai sebahagian daripada kos perubatannya yang ditanggung di luar negara.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengumumkan demikian pada sidang media di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia di sini Khamis.

Ho Leng, bekas pengerusi DAP Sarawak dan bekas anggota Parlimen Sibu kini berehat di sebuah hospital di Singapura selepas menjalani rawatan

"Jika rawatan dijalankan di Malaysia, sudah tentu kerajaan negeri akan menanggung semua perbelanjaan perubatan tetapi rawatan ini dijalankan di Singapura, oleh itu keluarga perlu menanggung sendiri.

"Di sinilah, kita bersetuju untuk membantu keluarganya membiayai sebahagian daripada kos perubatan.

Menurut Adenan, beliau telah menerima surat daripada pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang juga anggota Parlimen Bandar Kuching dan anggota dewan undangan negeri bagi Kota Sentosa, memohon bantuan kerajaan negeri untuk membiayai sebahagian daripada kos perubatan Ho Leng.

Sementara itu, Adenan berkata beliau bagi pihak kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Parlimen Bukit Gelugor mendiang Karpal Singh yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.

Beliau berkata mendiang Karpal Singh merupakan seorang peguam yang terkenal dan ahli politik yang dihormati oleh kawan dan lawan.

"Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada profesion perundangan dan arena politik tanah air.

"Bagi pihak kerajaan negeri Sarawak dan diri saya, saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang," kata Adenan.

Ketua menteri berkata beliau juga menulis surat kepada balu mendiang Datuk Amar Dunstan Endawi Enchana yang meninggal dunia baru-baru ini.

Menurut Adenan, Endawi yang juga anggota pertama Kabinet negeri pada 1963 dan timbalan ketua menteri dari 1977 hingga 1979 telah banyak memberi sumbangan kepada Sarawak dan masyarakat.

"Kita kehilangan seorang pemimpin yang amat berpengaruh dalam politik Sarawak dan memberi sumbangan untuk meningkatkan taraf hidup kaum Dayak.
Bukit Assek, Wong Ho Leng

Artikel Lain