suria

Spekulasi Pertukaran MB: Istana Jadi Kata Pemutus

Ahmad Said

KUALA LUMPUR: Keputusan pihak istana yang bakal menentukan sama ada akan berlaku pertukaran Menteri Besar (MB) di beberapa buah negeri menjadi kenyataan sebagaimana yang disebut-sebut sekarang.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhak membuat perubahan ke atas kerusi tersebut tetapi kata putus istana tetap memainkan peranan dan tidak dapat diketepikan begitu sahaja.

Beberapa sumber yang dihubungi mStar Online memaklumkan, suka atau tidak, kata putus istana dalam soal kerusi MB harus diterima sebagai salah satu pra-syarat pelantikan mana-mana MB yang baharu.

"Lambat atau cepat proses pertukaran (MB) itu bergantung kepada kata putus pihak istana," katanya lagi.

Sumber mStar Online turut mendedahkan bahawa isu mengenai pertukaran MB di beberapa buah negeri ini timbul kerana wujudnya perjanjian bersama antara MB terbabit, Barisan Nasional (BN) dan istana negeri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 yang lalu.

"Menerusi gentleman aggrement itu, beberapa orang MB telah diberi peluang untuk meneruskan tanggungjawab mereka seperti biasa selepas memenangi PRU lalu, dengan syarat mereka perlu berundur selepas tempoh tertentu dan inilah yang akan berlaku sekarang," kata sumber berkenaan.

Bilakah perubahan ini akan berlaku hanya perdana menteri sahaja yang ada jawapannya.

Dua buah negeri yang disebut-sebut terikat dengan persefahaman ini ialah Terengganu dan Pahang. Malah ada yang membuat spekulasi kononnya, Perak dan Kedah juga akan turut terlibat walaupun secara logiknya tidak ada sebab kedua-dua negeri ini memerlukan pertukaran pucuk pimpinan.

Namun di mana-mana sekarang, terutamanya di peringkat Umno Bahagian, ramai yang sedang memperkatakan tentang spekulasi pertukaran MB di negeri-negeri berkenaan.

Malah jika diimbau sejak selepas PRU lalu lagi, sudah timbul khabar angin bahawa Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Adnan Yaakob tidak akan lagi menduduki kerusi MB. Bagaimanapun ia tidak berlaku dan kedua-duanya mengekalkan jawatan mereka.

Berdasarkan keputusan PRU tahun lalu, situasi di Terengganu agak kritikal kerana majoriti BN hanya berkelebihan dua kerusi sahaja berbanding Pakatan Rakyat (PR).

Bagi Pahang pula, Adnan sendiri pernah menyatakan hasrat untuk berundur dan enggan meneruskan khidmat sebagai MB selepas PRU lalu, bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan apabila tetap dilantik untuk menerajui pentadbiran negeri berkenaan.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee ketika diminta mengulas mengenai khabar angin itu berpendapat adalah menjadi hak perdana menteri untuk menukar kepemimpinan tertinggi negeri, jika ia bertujuan untuk melancarkan urus tadbir negeri, termasuk mengukuhkan kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Pemimpin silih berganti, ia bukan masalah, yang penting akan menjamin keberkesanan khidmat kita kepada rakyat untuk kelangsungan Umno dan BN," katanya lagi.



Menteri Besar, PRU, istana, perjanjian

Artikel Lain