suria

Polis Buru 4 Suspek Kes Bunuh Di Jinjang

Khairi Ahrasa menunjukkan gambar suspek kes bunuh di Jinjang

KUALA LUMPUR: Polis kini mempergiatkan usaha memburu empat suspek kes bunuh membabitkan seorang lelaki yang dipercayai berpunca daripada pertelingkahan dalam urus niaga dadah di Jinjang pada 12 April lalu.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 petang itu, mangsa R. Sathaya Devan, 23, yang cedera parah meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mangsa dipercayai anggota Geng 08 dari Rumah Panjang Jinjang Utara.

"Motif kejadian pergaduhan dipercayai akibat rasa tidak puas hati dalam urus niaga dadah antara Geng 08 Rumah Panjang Jinjang Utara dengan geng sama dari Rumah Panjang PPR Beringin.

"Mangsa mengalami cedera parah akibat ditetak pada tangan kanan, lutut kiri dan luka sebelah kanan leher," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPK) di sini, Rabu.

Khairi berkata, kejadian itu berlaku di tempat letak kereta Blok A  PPR Beringin dan siasatan mendapati, kereta Proton Wira merah milik mangsa ada kesan berlanggar dengan sebuah kereta Honda Civic.

"Kami mengesyaki lelaki yang memandu Honda Civic itu mempunyai pakatan untuk membunuh mangsa," katanya sambil menambah, setakat ini tiga suspek sudah ditahan.

"Pada peringkat ini kami menganggap kes bunuh ini selesai, bagaimanapun kami masih memburu empat orang lagi suspek kejadian berdasarkan keterangan saksi.

"Mereka perlu serah diri atau mana-mana orang awam yang mengenali mereka diminta melaporkan ke balai polis berdekatan," katanya.

Antara empat suspek yang diburu ialah B. Ruban yang berusia 26 tahun dan alamat terakhir di PPR Taman Wahyu 1 Taman Beringin, Jinjang Utara); V. Elengo Van (28 tahun/Flat Sri Sabah); B. Vickneswaran (23 tahun,/ PPR Taman Wahyu 1, Taman Beringin, Jinjang Utara) dan Ayyah (23 tahun/ PPR Taman Wahyu 1, Taman Beringin, Jinjang Utara).

dadah, Geng 08, Jinjang

Artikel Lain