suria

Wau Membahayakan Helikopter, Pesawat

Tali wau terbelit pada helikopter boleh membawa bahaya

KOTA BHARU: Permainan layang-layang atau wau di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini boleh membawa padah apabila empat insiden sebelum ini mengakibatkan talinya terbelit pada kipas helikopter dan pesawat.

Sehubungan itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kelantan meminta orang ramai supaya tidak bermain layang-layang atau wau di sekitar kawasan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengurusnya, Su'aidi Yusoff, berkata layang-layang yang diterbangkan boleh mencapai ketinggian sehingga 300 meter dan ini boleh mengganggu laluan penerbangan masuk dan keluar pesawat dari lapangan terbang berkenaan.

"Jika mahu main layang-layang, kita minta jaraknya mestilah lima kilometer dari sempadan lapangan terbang supaya tidak dekat dengan laluan penerbangan," katanya dalam sidang akhbar di sini, Selasa.

Su'aidi berkata, Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan Asia Pacific Flight Training (APFT) mengalami kerugian hampir RM300,000 berikutan tali layang-layang terbelit pada kipas helikopter dan pesawat mereka.

Mengikut Akta Penerbangan Awam 1969, adalah menjadi kesalahan bagi orang ramai bermain layang-layang di sekitar kawasan lapangan terbang.

Beliau berkata, DCA mengendalikan 1,148 penerbangan setiap bulan, selain 705 pergerakan and 1,674 jadual latihan penerbangan.

“Kawasan ini sentiasa sibuk dan jika kegiatan bermain layang-layang masih diteruskan, ia boleh menyebabkan berlaku bencana kepada pesawat yang menggunakan lapangan terbang ini," katanya.

wau, DCA, Pengkalan Chepa

Artikel Lain