suria

Pemandu Bas Mengaku Tak Bersalah Pandu Bawah Pengaruh Dadah

Pemandu bas, Wan Khairul Afendi yang sebelum ini terlantar di hospital didakwa kerana menyebabkan kematian tiga penumpang.
BENTONG: Pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Baru Bentong-Raub pada 12 April lalu  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Isnin terhadap pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian tiga penumpang.

Tertuduh, Wan Khairul Efendi Wan Mustapa, 35, yang berasal dari Bachok, Kelantan didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 12.30 tengah malam itu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Anuar Afendi yang menawarkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Azizzul Shariman Mat Yusoff merayu supaya jaminan tertuduh kepada RM4,000 dengan seorang penjamin.

Beliau berkata, tertuduh tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar wang jaminan, selain menanggung lima orang anak yang berumur dalam lingkungan 7 hingga 17 tahun.

Majistret Mohd Isa Mohd Nor kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes itu selesai.

Mohd Isa kemudian menetapkan 19 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam nahas pukul 12.30 tengah malam itu, tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan terbalik.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Suhaisam Che Abdulla, 33, dan pasangan suami isteri, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31 (warga Somalia), dan isterinya Zarifah Alias, 26.


pemandu bas, dadah, kemalangan

Artikel Lain