suria

Dua Beranak Rentung Dalam Kebakaran di Kota Marudu

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Dua beranak ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kayu di Kampung Kirangawan, Kota Marudu dekat sini, awal pagi Jumaat.

Mayat Maijun Napaas, 42, (bapa) dan anak lelakinya Alexwin, 5, ditemui di ruang tamu di rumah mereka.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu berkata anak perempuan Maijun berumur lapan tahun sempat menyelamatkan diri.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Bomba Mohd Affendi K. Ramin berkata kebakaran berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi dan memusnahkan keseluruhan rumah keluarga itu.

"Sebuah lagi rumah jenis kayu turut terbakar 10 peratus di bahagian dinding," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata sebuah jentera dengan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


rentung, dua beranak, kota marudu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain