suria

Penipuan Cek Guna Kaedah 'Potong Dan Tampal'

Penipuan cek kini menggunakan teknik 'potong dan tampal'.

PETALING JAYA: Kes penipuan cek kini menggunakan kaedah "potong dan tampal" bagi menipu bank dan orang ramai.

Menurut pakar, teknik pemalsuan terkini menggunakan mesin pengimbas dan mesin fotokopi untuk menyalin tandatangan bagi dicetak ke atas cek yang tulen.

"Tandatangan mangsa diimbas atau difotokopi untuk dipalsukan menggunakan perisian komputer yang canggih dan kemudian dicetak ke atas cek yang tulen menggunakan pencetak inkjet," kata pemeriksa forensik dokuman dan tulisan tangan, William Pang.

Penipu sebelum ini menggunakan teknik pengesanan itu untuk memalsukan tandatangan. Cetakan laser, yang lebih berkilat dan lebih mudah untuk dilihat, jarang digunakan.

"Satu lagi teknik adalah mengumpul kira-kira 15 spesimen tandatangan daripada mangsa sebelum menggunakan perisian untuk memotong dan menampal bahagian-bahagian yang berbeza (daripada beberapa spesimen yang dipilih) untuk membuat tandatangan komposit. 

"Tandatangan yang palsu itu akan dicetak ke atas satu cek yang asal," kata beliau sambil menambah bahawa penggunaan hanya satu spesimen tandatangan boleh mewujudkan syak wasangka sekiranya cek tersebut kemudiannya diteliti.

Pang berkata, penipu juga boleh membuat perubahan pada nama atau jumlah di permukaan cek.

Menerusi satu kaedah pengubahan mudah boleh menukarkan jumlah RM80.00 kepada RM8,000, kata Pang, yang telah memberi keterangan dalam banyak kes di mahkamah, termasuk kes melibatkan RM110 juta. 

Menurut Bank Negara, sebanyak 1,029 kes penipuan cek dengan kerugian berjumlah RM1 juta dikesan tahun lepas. 

Rekod bank pusat itu menunjukkan 197.1 juta cek dengan nilai RM2,059.5 bilion dikeluarkan pada tahun lepas.

Artikel Lain