suria

Penjenayah Pecah Rumah Tembak-Menembak Dengan Polis

Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan oleh anggota polis yang membuat rondaan.

KUALA LUMPUR: Satu insiden tembak-menembak antara anggota polis dan sekumpulan lima perompak berlaku di kawasan perumahan di Taman Taynton View, Cheras apabila polis mengesan kesemua penjenayah itu cuba untuk memecah masuk ke sebuah rumah pada petang Sabtu.

Difahamkan unit peronda polis yang menggunakan kenderaan pelbagai guna ( MPV) mengesan sekumpulan lelaki yang berkelakuan mencurigakan di dalam sebuah kereta warna merah di Bandar Kinrara, Puchong dan mengekori mereka sehingga ke Jalan 25/119 di sini pada kira-kira pukul 5 petang.

Lima lelaki berkenaan, kesemuanya rakyat Malaysia dan merupakan penjenayah, melompat pintu pagar rumah dan cuba untuk memecah masuk menerusi tingkap rumah.

Ketika anggota polis cuba untuk menahan mereka, suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan, menyebabkan polis terpaksa membalas melepaskan tembakan.

Penduduk berkata, lapan tembakan didengari dalam insiden tembak-menembak antara polis dan perompak, yang kemudiannya cuba untuk melarikan menggunakan kereta mereka sebelum melanggar sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di tepi jalan.

Kesemua lima penjenayah itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Serdang.

Salah seorang suspek dipercayai terkena tembakan di bahagian kaki.

Pemilik rumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Alex, berkata ini merupakan cubaan rompakan kedua sejak dia mula tinggal di rumah itu lima tahun lalu.

"Sudah dua kes pecah masuk di kawasan perumahan ini. Nasib baik tiada seorang pun daripada kami berada di rumah ketika kejadian berlaku," kata Alex.

pecah masuk, polis, perompak

Artikel Lain