suria

Wakil ICAO Akan Teliti Isu Keselamatan KLIA2 - Hishammuddin

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
SEPANG: Kerajaan akan bekerjasama dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk meneliti isu-isu keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang telah ditimbulkan baru-baru ini serta memuaskan hati pihak-pihak berkuasa berkaitan dan juga rakyat, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. 

ICAO ialah sebuah agensi khusus United Nations yang menyediakan piawaian, peraturan dan prosedur bagi penerbangan antarabangsa. 

Beliau berkata ICAO telah bersetuju untuk bekerjasama dan akan menghantar wakil yang dijadualkan tiba di sini Isnin ini. 
 

"Laporan dari pihak IKRAM (perunding bebas yang dilantik oleh kerajaan untuk menilai tahap keselamatan di klia2) telah menunjukkan tidak ada isu keselamatan, tetapi perkara ini masih digembar-gemburkan.

"Kalau itu masih menjadi kebimbangan orang ramai, kita akan meminta pihak ICAO untuk melihat isu ini.

"Ini untuk membuktikan kepada orang ramai di dalam konteks keselamatan dan pihak kerajaan tidak akan berkompromi," katanya pada satu sidang akhbar selepas melawat tapak lapangan terbang baharu itu. 

Beliau juga berkata selain Ikram Premier Consulting, 57 perunding tempatan yang dilantik oleh kerajaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Jabatan Penerbangan Awam telah diminta untuk meneliti isu keselamatan di KLIA2.

Ditanya tentang kebimbangan AirAsia berhubung keselamatan dan jaminan di KLIA2 yang membuat syarikat penerbangan kos rendah itu enggan berpindah ke terminal baharu itu, Hishammuddin berkata: "Itulah sebabnya saya telah memutuskan untuk meminta kerjasama ICAO." 

Beliau berkata jika AirAsia masih mempunyai masalah tentang klia2, syarikat itu boleh mengemukakannya kepada ICAO. 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata ICAO akan mengambil masa seminggu untuk menyelesaikan tugasnya. 

Abdul Aziz juga berkata KLIA2 sudah pun siap 100 peratus. 

Menurut Hishammuddin perkara yang penting buat masa ini ialah sistem operasi di KLIA2 yang melibatkan tahap kesediaan beroperasi dan perpindahan (ORAT), iaitu satu percubaan untuk merangsang aspek-aspek kefungsian dan pengoperasian. 

Mengenai sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC), Hishammuddin berkata ia mestilah diperoleh menjelang masa KLIA2 dibuka dengan rasmi. 

"Tidak mengapa. Saya rasa dalam beberapa hari akan datang mereka (Malaysia Airports Holdings Bhd) giat berusaha untuk mendapatkan CCC itu. Saya, secara peribadi, yakin tentang ini (untuk mendapatkan CCC)." 

Beliau berkata semua kerja asas harus diteruskan hingga pembukaan lapangan terbang itu, kerana menunggu CCC seperti sebelum ini akan hanya melengahkan, memandangkan lapangan terbang ini merupakan pembangunan yang sangat besar. 

Hishammuddin menegaskan bahawa kerajaan juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana agenda individu dan mereka yang berminat untuk menggugat apa yang sepatutnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. 

"Terdapat kelemahan yang akan kita atasi. Ada penyiasat bebas yang akan meneliti isu keselamatan...tetapi ini tidak harus menghalang kita daripada berasa senang tentang sesuatu yang telah kita capai. 
 
"Tidak ada hasrat yang lebih besar daripada memastikan bahawa kita menyediakan perkhidmatan terbaik bagi orang yang akan menggunakan lapangan terbang kita," tegas beliau.

Hishammuddin Hussein, KLIA2

Artikel Lain