suria

Zahid Nafi Beri Kerakyatan Kepada 500 Pemegang Pasport BOC

Ahmad Zahid menunjukkan kenyataan media berkenaan isu pemegang pasport Kerakyatan Luar Negara British (BOC) pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Jumaat. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan beliau memberikan kerakyatan kepada 500 pemegang pasport Kerakyatan Luar Negara British (BOC) seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Beliau berkata, hanya tiga pemegang pasport BOC dari Malaysia dibenarkan pulang sehingga kini dan ketiga-tiga mereka dikeluarkan Pas Residen dan bukan taraf kewarganegaraan.

"Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk memberi kerakyatan kepada pemegang passport melainkan berdasarkan jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik bertarikh 3 April 2014 yang disalahertikan.

"Jumlah yang didakwa seramai 1,000 orang (jumlah keseluruhan pemegang pasport BOC dari Malaysia) seperti yang dilaporkan dalam media adalah tidak benar. Kerajaan Malaysia akan memberikan kemudahan Imigresen kepada sesiapa sahaja yang memerlukan sama ada rakyat Malaysia atau warga asing sejajar dengan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan anggota Parlimen Tanjung dari DAP, Ng Wei Aik yang mendakwa kerajaan bersetuju untuk membawa pulang 500 bekas rakyat Malaysia yang melepaskan kewarganegaraan mereka untuk menjadi warganegara United Kingdom (UK).

Ahmad Zahid menegaskan bahawa pengeluaran Pas Residen kepada pemegang passport BOC sama sekali tidak bermaksud mereka diberikan taraf kewarganegaraan.

Beliau menambah, berdasarkan kepada model permohonan kewarganegaraan, seseorang bekas warganegara memerlukan sekurang-kurangnya 17 tahun untuk mendapatkan semula taraf kewarganegaraan Malaysia.

"Tempoh yang ditetapkan ini adalah intipati penting dalam menguruskan kepulangan bekas warganegara bagi memastikan mereka menumpahkan taat setia kepada negara ini dan tidak sewenang-wenangnya mengulangi lagi perbuatan melepaskan kewarganegaraan seperti yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pemegang pasport BOC merupakan warganegara Malaysia yang memilih untuk melepaskan taraf kewarganegaraan bagi memohon sebagai warganegara UK.

Beliau berkata, mengikut British Nationality Act 1981 (BNA 1981) yang dipinda pada 4 Julai 2002, mereka hanya akan diberikan kewarganegaraan UK jika mereka telah melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia pada atau sebelum 4 Julai 2002.

Ahmad Zahid berkata, Pas Residen hanya merupakan kebenaran yang diberikan kepada warganegara asing untuk tinggal di Malaysia untuk tempoh lima tahun dan boleh memohon untuk disambung setiap lima tahun. 

"Pas Residen perlu dimohon semasa berada di UK melalui Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, dan hanya boleh berlepas ke Malaysia setelah permohonan mereka diteliti dan diluluskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Pas Residen akan ditampal dalam pasport BOC mereka sebaik tiba di pintu masuk dan sebelum mereka melangkah keluar dari terminal. Satu kaunter khas disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan mereka melapor diri," katanya.

Tambahnya lagi, penyediaan kaunter khas itu memudahkan pihak JIM mengesan pemegang pasport BOC dan mengelakkan mereka masuk ke dalam negara tanpa pas yang sah bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang Imigresen dan menghadapi risiko ditahan kerana tidak memiliki suatu pas yang sah.

Artikel Lain