suria

Selangor Mahu Kos Pengambilalihan Syarikat Air Tidak Lebih RM9.65 Bilion

Abdul Khalid Ibrahim.
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor bersedia melihat semula rayuan oleh Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk turut sama dalam penstrukturan semula industri air di negeri ini sebelum Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air Selangor (WSIA) 2006 dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata bagaimanapun, kos pengambilalihan yang dicadangkan oleh kedua-dua syarikat berkenaan hendaklah tidak boleh melebihi tawaran asal keseluruhan berjumlah RM9.65 bilion.

"Perkara ini penting kerana kenaikan kos pengambilalihan akan mempunyai impak negatif kepada tarif air dan akhirnya membebankan rakyat terutama lebih lima juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri semalam telah dirujuk oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengenai rayuan oleh PNSB dan Syabas supaya kerajaan negeri melihat semula tawaran pengambialihan yang telah tamat pada 10 Mac lepas.

Beliau berkata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam surat bertarikh 8 April lepas memohon kerajaan negeri untuk memberi pertimbangan kepada rayuan yang dibuat oleh kedua-dua syarikat berkenaan melalui surat mereka bertarikh 7 April lepas.

Namun, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri komited untuk terus bersama KeTTHA untuk meneruskan usaha pengambilalihan industri air Selangor melalui Seksyen 114 Akta itu.

"Kerajaan negeri sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada KeTTHA atas kerjasama yang telah mereka berikan dalam menyelesaikan isu pengambilalihan industri air seperti yang dihasratkan dalam WSIA.

"Kerajaan negeri akan meneruskan perbincangan berkaitan modus operandi yang perlu dilakukan bagi pelaksanaan pengambilalihan menurut Seksyen 114 Akta itu," katanya. 

Pada 26 Feb lepas, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di mana kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran kepada pihak kerajaan Persekutuan untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) di Selangor.

Sebagai tambahan, kerajaan Persekutuan bersedia menyuntik dana untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkannya menguruskan perkhidmatan bekalan air di Selangor melalui sebuah syarikat milik kerajaan negeri.

Selain PNSB dan Syabas, dua lagi syarikat konsesi terlibat ialah Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).

Pada 7 April lepas, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menguatkuasakan Seksyen 114 bagi mengambil alih pengawalan kesemua empat syarikat konsesi dan pemegang lesen air di Selangor.

Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata kesediaan kerajaan Persekutuan untuk menguatkuasakan Seksyen 114 membolehkan kerajaan negeri membayar hanya RM7.65 bilion kepada syarikat konsesi berbanding tawaran sebelum ini sebanyak RM9.65 bilion.

Artikel Lain