suria

Polis Nafi Dakwaan NGO P.Pinang 'Bandar Seks'

Negeri Pulau Pinang didakwa sebagai 'bandar seks' berikutan kononnya terdapat sekurang-kurangnya 200 kawasan panas yang menawarkan perkhidmatan seks.

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang pada Selasa menafikan laporan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa negeri ini 'bandar seks' berikutan kononnya terdapat sekurang-kurangnya 200 kawasan panas yang menawarkan perkhidmatan seks.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kajian dibuat oleh NGO berkenaan juga diragui kerana ia dijalankan pada tahun 2011 dan respondennya ialah pemandu teksi.

Beliau berkata, polis telah mengenal pasti NGO berkenaan dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan berhubung dakwaan itu.

"Pada saya dakwaan itu memang tidak benar sama sekali kerana polis dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan telah menjalankan operasi dan boleh dikatakan setiap hari kami mengadakan operasi di kawasan hotel serta premis hiburan di negeri ini.

"Sejak tahun lepas kami telah pergiatkan lagi operasi iaitu sehingga purata lima kali sehari dalam usaha membendung kegiatan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Cegah Jenayah bagi Sekolah Menengah Peringkat Pulau Pinang, di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, Selasa.

Abdul Rahim berkata, laporan kajian itu juga memberi imej buruk kepada polis kerana ia menggambarkan seolah-olah polis tidak menjalankan tugas.

"Polis tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan berkenaan (menawarkan perkhidmatan seks) malah kami sentiasa mengambil tindakan tegas," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung kenyataan Jaringan Utara Migran dan Pelarian (Jump) yang mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 200 kawasan panas menawarkan perkhidmatan seks di Pulau Pinang malah ada juga tempat yang dilengkapi sistem kedudukan global (GPS).

Artikel Lain