suria

Pertembungan Azmin-Khalid Liabiliti PKR - Rafizi

Saifuddin Nasution (tiga dari kanan) bersama Nurul Izzah (dua dari kanan) dan Mohd Rafizi (tengah) ketika pelancaran kempen Pemilihan PKR 2014 di Petaling Jaya pada Selasa.
PETALING JAYA: Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli secara terbuka menyifatkan kontroversi politik membabitkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali sebagai liabiliti kepada parti itu.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, pertembungan personaliti antara kedua-dua pemimpin berkenaan hanya akan merugikan parti apabila isu membabitkan kepentingan rakyat diabaikan.

"Kita perlu lari daripada pertembungan personaliti. Orang lain mungkin berselindung, tapi saya lebih terbuka (menyatakan pendirian).

"Kebelakangan ini kita lihat ada pertembungan personaliti antara beberapa orang termasuk Tan Sri Khalid dan saudara Azmin. Keadaan ini tidak membantu rakyat, oleh itu kita perlu tumpu dan kembali kepada soal-soal rakyat," katanya ketika hadir pada majlis pelancaran kempen pemilihan PKR 2014 di sini, Selasa.

Mengetuai kumpulan yang menggunakan tema 'Masa Depan Besama' itu ialah calon Timbalan Presiden, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Pada pemilihan PKR hujung bulan ini, Saifuddin menentang dua calon 'heavy weight'  iaitu Mohamed Azmin yang merupakan penyandang jawatan dan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Turut menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Datuk K. Ramachandran dan S. Murali.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya menyertai kem Saifuddin menentang Mohamed Azmin dan Abdul Khalid, Mohd Rafizi berkata ia dibuat berdasarkan pertimbangan untuk memberi pilihan ketiga kepada ahli.

Katanya, ahli PKR perlu faham bahawa pemilihan parti kali ini bukan berkisar mengenai pertembungan politik antara Mohamed Azmin dan Abdul Khalid semata-mata.

"Parti ini milik rakyat. Sebab itu saya memilih untuk menongkah arus (menentang Mohamed Azmin dan Abdul Khalid). Malah saya dimaklumkan bahawa kami ini mengambil tindakan membunuh diri secara politik.

"Tetapi bagi saya rakyat dan ahli parti perlu tahu bahawa PKR diwujudkan untuk membawa suara rakyat. Sebab itu kita perlu ketepikan pertembungan dalam parti," katanya.

Sementara itu, penyandang dan calon Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar yang turut menyertai kem Saiffuddin berkata, gandingannya bersama bekas Ahli Parlimen Machang dibuat kerana wujud persefahaman antara mereka.

"Bagi saya ini satu persefahaman yang baik untuk masa depan parti dan rakyat secara keseluruhannya.

"Apa yang penting kami perlu dilihat sebagai gandingan yang mempamerkan kepemimpinan yang kolektif untuk parti ini," katanya.

Artikel Lain