suria

NFCorp: Shamsubahrin Akui Guna Gelaran Datuk Walaupun Tak Terima Pingat

Shamsubahrin Ismail (kiri)

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail yang dituduh menipu memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa dia belum menerima pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Pahang.

Shamsubahrin, 48, sebaliknya memaklumkan mahkamah bahawa dia hanya menerima surat pelantikan bagi gelaran Datuk pada 2009 dan menggunakan gelaran itu dalam pelbagai urusan termasuk surat menyurat.

Bagaimanapun Shamsubahrin tidak bersetuju dengan cadangan Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Musa bahawa dia menggunakan gelaran Datuk untuk mempengaruhi orang yang berurusan dengannya.

Dia berkata demikian ketika membela diri terhadap lima pertuduhan menipu bekas pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Shamsubahrin turut memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah bekerja dengan Dr Mahathir tetapi bersetuju dengan cadangan Abdul Razak bahawa dia sendiri menulis dalam profil peribadi sebagai pernah menjadi penasihat kepada bekas perdana menteri itu.

Ketika ditanya Abdul Razak mengenai kedudukan syarikat Shamsubahrin Consultancy Sdn Bhd pada 20 Nov 2011, sama ada tahu syarikat itu sudah digulung, Shamsubahrin menjawab "ya" dan bersetuju dengan cadangan Abdul Razak bahawa kerja-kerja konsultansi yang dijalankan tidak mendapat kebenaran mahkamah.

Shamsubahrin juga bersetuju bahawa syarikat itu telah digulung oleh Mahkamah Shah Alam pada 5 Mei 2009 dan turut bersetuju bahawa kerja-kerja konsultansi perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Insolvensi.

Terdahulu Shamsubahrin memaklumkan bahawa dia ada membuat laporan polis kerana perasaan marahnya terhadap Mohamad Salleh yang telah menganiayanya.

"Saya berasa dukacita terhadap Mohamad Salleh yang telah menganiaya dan menjadikan saya sebagai 'kambing hitam' terhadap kesalahan yang dilakukannya ke atas NFCorp dan kerajaan," katanya ketika pemeriksaan utama peguam Hasnal Redzua Merican yang mewakilinya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozilah Salleh bersambung 29 Mei ini.

Artikel Lain