suria

Jabatan Audit Negara Minta KSU, Ketua Jabatan & CEO Syarikat K'jaan Pantau Projek

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara meminta supaya Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Ketua Jabatan dan Ketua Eksekutif mengambil tanggungjawab menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi setiap program, projek atau aktiviti di organisasi masing-masing.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 Tahun 2013 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, langkah itu dapat memastikan semua kelemahan dapat dikenal pasti dan tidak hanya bergantung kepada pengauditan Jabatan Audit Negara semata-mata memandangkan ia dibuat berdasarkan pensampelan dan skop tertentu.

Jabatan itu turut meminta Unit Audit Dalam bagi setiap organisasi menjalankan pengauditan perolehan dan prestasi terhadap pengurusan program untuk menentukan ia dilaksanakan dengan cekap, ekonomi, berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Menurut laporan itu, beberapa kelemahan di peringkat pelaksanaan didapati berpunca daripada kurang pemantauan dan penyeliaan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan, kurang kepakaran teknikal, selain bergantung penuh kepada perunding atau kontraktor.

Ia menyebabkan program/projek/aktiviti tidak dapat disiapkan mengikut tempoh, meningkat kos dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan yang dibuat.

Justeru, Jabatan itu mengesyorkan agar kajian terperinci dijalankan terlebih dahulu sebelum meluluskan sesuatu projek kerajaan untuk pelaksanaan, termasuk mengemukakan maklumat lengkap seperti kedudukan status tapak projek, ringkasan projek, peruntukan tahunan dan jadual pelaksanaan.

Selain itu, ia mengesyorkan perancangan bersepadu antara agensi terlibat perlu dilakukan di peringkat awal pelaksanaan bagi projek yang besar.

Bagi membendung masalah ketidakupayaan kontraktor dari segi kewangan atau kepakaran, syarikat yang ingin menyertai sesuatu perolehan kerajaan dicadangkan mengemukakan maklumat mengenai modal berbayar dan kedudukan kewangan untuk tempoh tiga tahun serta senarai kontrak kerajaan dan swasta yang sedang dan akan dilaksanakan.

Turut dicadangkan adalah penyelarasan perolehan peralatan mengikut kemajuan kerja-kerja pembinaan sesuatu bangunan bagi mengatasi masalah peralatan yang diperoleh terbiar, berlebihan atau tidak sesuai.

Selain itu, Jabatan berkenaan turut mengesyorkan tindakan tegas seperti tatatertib atau surcaj diambil kepada pegawai yang cuai atau gagal melaksanakan tugas tanpa sebab yang munasabah sehingga kerajaan menanggung kerugian.

Ia juga mencadangkan tindakan tegas dikenakan kepada perunding yang gagal melaksanakan tanggungjawab menyelia sesuatu projek seperti mengenakan penalti atau senarai hitam.

Jabatan itu berharap Laporan Ketua Audit 2013 dapat dijadikan asas memperbaiki kelemahan, memantapkan usaha penambahbaikan serta meningkatkan akauntabiliti dan integriti yang secara tidak langsung membantu usaha membanteras rasuah.

Artikel Lain