suria

Pemilik Tanah Kampung Baru Dipelawa Beri Cadangan Draf PITPKB 2020 Mulai Isnin

Seorang penduduk asal Kampung Baru melihat draf Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PIPKB) pada pameran majlis perasmian Hari Terbuka Draf PIPKB di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada Sabtu.-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemilik atau pewaris tanah di Kampung Baru mempunyai tempoh sebulan bermula Isnin ini bagi mengemukakan pandangan dan ulasan kepada Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) mengenai Draf Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru 2020 (Draf PITPKB 2020).

Pengerusinya Datuk Astaman Abdul Aziz berkata mereka boleh memaklumkan sebarang pandangan mengenai pelan induk itu dengan mengisi borang PKB.

"Bermula 7 April hingga 6 Mei depan, pemilik atau pewaris tanah boleh hadir ke Pejabat PKB pada waktu pejabat untuk penerangan lebih terperinci dan pada masa sama, boleh kemukakan pandangan mereka.

"Mereka bebas mengemukakan cadangan, ulasan mahupun pandangan berhubung PITPKB 2020 yang bakal dipamerkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Hari Terbuka Draf PITPKB 2020 di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PKB Datuk Seri Matshah Safuan, Ketua Pegawai Eksekutif PKB Naharudin Abdullah dan Ketua Pengarah AJM Planning and Urban Design Group Sdn Bhd Norliza Hashim serta kira-kira 500 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Astaman berkata pandangan dan ulasan yang diberi sepanjang tempoh itu akan diambil kira dalam memberikan wajah baharu kepada Kampung Baru sebagai kawasan penempatan Melayu yang maju dan berdaya saing di tengah pusat bandar raya.

Beliau berkata pelan induk itu memfokuskan kepada tiga kaedah pelaksanaan mengikut kawasan ditetapkan merangkumi pencantuman tanah, pembangunan komprehensif melalui mekanisme pindah hakmilik pembangunan dan program Skim Peningkatan Perniagaan.

Menurutnya PKB tidak mengabaikan aspek utiliti dan infrastruktur, yang merupakan nadi kepada pembangunan Kampung Baru, dengan mengadakan pertemuan bersama beberapa agensi termasuk Tenaga Nasional Berhad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.

Beliau berkata kandungan pelan induk itu termasuklah pembinaan sebuah taman rekreasi bertasik yang turut berperanan sebagai tebatan banjir yang dihubungkan ke Sungai Klang.

Ditanya mengenai kemungkinan trafik di kawasan itu bertambah sesak apabila projek itu siap dibangunkan, Astaman berkata pihaknya telah menjalankan satu kaji selidik bagi mendapatkan dana membina akses laluan terus ke Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (AKLEH).

"Kita juga telah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai kemungkinan pembinaan jajaran Laluan 2 My Papid Transit (MRT2)," katanya.

Tahun lepas, PKB mengadakan Program Turun Padang (TUPA) dan mendapati 88 peratus pemilik dan pewaris memberikan reaksi positif terhadap pembanguan semula Kampung Baru.

Perbadanan itu ditubuhkan pada 2011 untuk memaju, menyelaras dan menyelia pembangunan di Kampung Baru yang seluas 121.7 hektar.

Artikel Lain