suria

MH370: Malaysia Terus Ketuai Siasatan - Hishammuddin

PETALING JAYA: Malaysia akan terus mengetuai pasukan siasatan dan menyelaraskan serta memperkukuhkan usaha mencari pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dengan menubuhkan kumpulan penyiasat bebas dan tiga jawatankuasa peringkat kementerian.

"Sejajar dengan standard ICAO, Malaysia turut melantik kumpulan penyiasat bebas untuk mengetuai pasukan siasatan yang terdiri daripada tiga kumpulan," kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media di sini Sabtu.

Tiga kumpulan itu terdiri daripada kumpulan kebolehgunaan pesawat, operasi serta perubatan dan faktor manusia.

"Kumpulan kebolehgunaan pesawat akan melihat soal seperti rekod penyelenggaraan, struktur dan sistem. 

"Kumpulan operasi pula akan menyiasat perkara seperti perakam data penerbangan, operasi dan kajicuaca. 

"Kumpulan perubatan dan faktor manusia pula akan menyiasat isu seperti psikologi, patologi dan faktor kelangsungan," katanya.

Hishammuddin berkata, pasukan siasatan diketuai akan diketuai oleh kerajaan Malaysia tetapi akan melibatkan beberapa individu dari negara bertauliah yang lain.

"Malaysia sudah meminta Australia untuk ditauliahkan kepada pasukan siasatan dan mereka telah diterima.

"Kami turut menyenaraikan China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis sebagai wakil yang ditauliahkan kepada pasukan siasatan bersama-sama dengan beberapa negara lain yang kita rasa berada pada kedudukan untuk membantu," katanya.

Sementara itu, tiga jawatankuasa peringkat kementerian bagi menyelaras dan memperkukuhkan usaha mencari dan siasatan berhubung kehilangan pesawat MH370 yang ditubuhkan adalah Jawatankuasa Waris Penumpang, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pergerakan Aset. 

Jawatankuasa Waris Penumpang akan diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Jawatankuasa Teknikal diketuai Timbalan menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, dan Jawatankuasa Pergerakan Aset diketuai Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri. 

Artikel Lain