suria

Spekulasi Tidak Akan Jadikan Penerbangan Lebih Selamat - CEO IATA

Tony Tyler.
KUALA LUMPUR: Tiada siapa pun harus membuat kesimpulan tentang sebab-sebab bagi kehilangan pesawat malang MH370 milik Malaysia Airlines pada 8 Mac lalu, sebelum penyiasatan selesai, kata Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pengangkutan Udara (IATA), Tony Tyler.

"Spekulasi tidak akan menjadikan penerbangan lebih selamat. Bagaimanapun, ada dua perkara pengesanan pesawat dan data penumpang yang jelas merupakan cabaran yang perlu diatasi," kata Tyler pada Persidangan OPS IATA yang berlangsung di sini, Selasa.

Beliau berkata peristiwa MH370 itu telah menyerlahkan betapa perlunya ditambah baik pengesanan pesawat dalam penerbangan. 

"Dalam dunia yang setiap pergerakan kita boleh dikesan, memang sukar untuk dipercayai bahawa sebuah pesawat boleh terus hilang, manakala data-data penerbangan dan perakam suara kokpit pula begitu sukar ditemui," kata Tyler.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 pagi 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di ruang udara Laut China Selatan.
 
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
 
"Air France 447 mengalami isu yang serupa beberapa tahun lalu dan beberapa kemajuan telah dicapai. Tetapi ini mesti dipercepatkan. Kita tidak boleh biarkan satu lagi pesawat ghaib begitu sahaja," tegas beliau. 

Tyler berkata IATA akan menubuhkan sebuah pasukan petugas yang akan melibatkan penyertaan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa untuk memastikan usaha yang dilakukan diselaraskan dengan baik.
 
Kumpulan ini akan mengkaji semua pilihan yang ada bagi pengesanan pesawat komersial berdasarkan ukuran pelaksanaan, pelaburan, masa dan tahap kesukaran untuk mencapai hasil yang dikehendaki. 

"Kumpulan ini akan melaporkan kesimpulannya menjelang Disember 2014, dan ini mencerminkan perlunya tindakan segera dan analisis yang teliti.
 
Sementara itu, semasa sidang akhbar itu, Tyler berkata pakar-pakar akan juga mengkaji keperluan mengadakan penstriman data-data secara langsung dari pesawat dalam penerbangan. 

"Kini sudah ada teknologi untuk melakukannya, tetapi belum jelas sejauh mana ia praktikal," katanya.

Mengenai data penumpang, Tyler berkata industri ini telah melakukan usaha dan mengeluarkan perbelanjaan, yang besar untuk memberikan maklumat yang boleh dipercayai tentang penumpang kepada kerajaan sebelum sesebuah pesawat berlepas. 

"Kerajaan harus menggunakannya bagi kawalan sempadan. Kami bukan pegawal sempadan atau anggota polis. Kerajaan perlu mengkaji proses masing-masing untuk mengesahkan dan menggunakan data-data ini, seperti pangkalan data pasport dicuri atau hilang Interpol," tegas beliau.

Artikel Lain