suria

K'jaan Akan Terus Perkasa Usahawan Belia - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan penutup Kongres Usahawan Muda Bumiputera di Matrade di Kuala Lumpur pada Sabtu.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperkasakan golongan belia terutamanya yang terlibat dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Perdana Menteri berkata jaminan berkenaan bukan hanya satu ungkapan yang bersifat retorik politik, tetapi sesuatu yang akan diterjemahkan menjadi dasar dan program baharu yang akan memajukan golongan usahawan muda.

Berucap pada majlis penutupan Kongres Usahawan Muda Bumiputera di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini, beliau berkata kerajaan mahu melahirkan usahawan yang berjaya secara jangka panjang melalui program pembangunan yang inklusif dan mampan.

"(Ini) bererti jika kita hendak membangunkan usahawan, dia mesti usahawan yang berjaya secara jangka panjang, bukan sekadar nak mendapatkan kontrak daripada kerajaan, lepas tu habis cerita.

"Apatah lagi kalau mereka ini tergolong dalam kategori 'rent-seekers' atau mereka yang menerima komisen sahaja, ini bukan usahawan yang nak kita bangunkan...kita nak bangunkan usahawan yang berjaya dan pada akhirnya menjadi usahawan yang boleh kita banggakan," katanya.

Turut hadir pada kongres tiga hari anjuran Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib turut menggariskan tiga prinsip yang perlu ada pada seorang usahawan yang berjaya iaitu mempunyai akhlak dan moral yang baik; menguasai ilmu dan kemahiran serta tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk maju.

"Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan, sebab kemampuan kerajaan untuk menyediakan pekerjaan untuk semua tentu sekali terbatas.

"Kita harus mampu menjadi orang yang boleh menyediakan pekerjaan kepada orang lain. Jika kita sebagai usahawan berjaya untuk menghasilkan puluhan malahan ratusan pekerjaan, kita telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat," katanya.

Matrade, Bumiputera, GMB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain