suria

MH370: FBI Tidak Temui Sebarang Keraguan Dalam Simulator Penerbangan Kapten Zaharie

Simulator penerbangan milik Kapten Zaharie.

PUTRAJAYA: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak menemui sebarang keraguan dalam simulator penerbangan milik juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu sehingga hasil penyiasatan diselesaikan oleh pihak polis di sini.

"Itu akan diumumkan oleh Ketua Polis Negara, yang menekankan empat senario kemungkinan apa yang boleh menyebabkan pesawat itu hilang dua minggu lalu, iaitu keganasan, rampasan, masalah peribadi dan psikologi, atau kegagalan teknikal.

"Senario ini telah dibincangkan secara panjang lebar dengan agensi-agensi perisikan yang berbeza," kata Hishammuddin, sambil menambah bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA), Perkhidmatan Perisikan Rahsia United Kingdom ( MI6 ) dan agensi-agensi Cina terlibat dalam penyiasatan ke atas simulator penerbangan.

Pada 14 Mac lalu, polis mengadakan serbuan di rumah Kapten Zaharie , 53, di Shah Alam dan mengambil simulator penerbangan peribadinya selepas persoalan dibangkitkan mengenai kedua-dua juruterbang di kokpit, berikutan selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pesawat itu disyaki dengan sengaja dialihkan dari laluan penerbangannya.

Polis turut memeriksa rumah pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid, 27.

Artikel Lain