suria

Lebih Banyak Negara Perlu Dijemput Sertai Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear - Muhyiddin

THE HAGUE: Lebih banyak negara perlu dijemput mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) bagi mencapai hasil yang optimum, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Beliau berkata, anggota sidang kemuncak itu juga boleh berkongsi dengan mereka, pengajaran yang dipelajari NSS dan menggalakkan mereka untuk menerima pakai amalan terbaik yang telah diwujudkan NSS semasa sidang kemuncak.

“Kita tidak boleh mencapai hasil optimum kecuali kita mendapatkan penglibatan lebih banyak negara," katanya pada sidang pleno tidak rasmi mengenai "Masa Depan Proses Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear"  di Forum Dunia di sini, Selasa.

Setakat ini 53 negara telah dijemput menyertai sidang sidang kemuncak itu. 

Bagaimanapun dua negara kuasa nuklear iaitu Iran dan Korea Utara belum menganggotai NSS.

Muhyiddin juga menjelaskan NSS telah dapat mengurangkan jurang keselamatan nuklear di kalangan negara-negara anggota NSS dan oleh itu NSS perlu mengurangkan jurang itu dengan mereka yang berada di luar proses NSS.

“Kita mesti sasarkan, terutama negara-negara anggota Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang masih belum menganggotai NSS. Kita semua menekankan keutamaan dan peranan utama IAEA dengan kerja NSS ketika ini,” katanya.

Ketika menekankan pandangan Malaysia berhubung anggota NSS, Muhyiddin berkata, NSS juga perlu mula mempertimbangkan bagaimana IAEA boleh mewariskan kejayaan hasil kerja mereka dan mengembangkannya pada masa depan.

Beliau berkata, dengan pengalaman luas dan kumpulan besar tenaga kepakaran teknikal, IAEA merupakan badan antarabangsa paling sesuai untuk meneruskan
kerja-kerja NSS.

“Kita perlu membincangkan perkara ini, dan kemungkinan mengambil satu keputusan mengenainya pada sidang kemuncak akan datang. Kita perlu berfikir lebih jauh ke masa depan," katanya. 

Muhyiddin juga menjelaskan bahawa NSS tidak perlu berhenti terhadap usaha mengurangkan ancaman keganasan nuklear dan mesti mempunyai matlamat untuk
membanterasnya.

Beliau juga berkata, NSS tidak patut berhenti daripada mendapatkan semua bahan-bahan nuklear yang mudah terdedah kepada bahaya di kalangan negara-negara
anggota NSS sahaja tetapi perlu mensasarkan untuk meningkatkan komitmen itu.

Artikel Lain