suria

Wan Azizah Tidak Tahu Rancangan Dilantik Jadi MB

KAJANG: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak mengetahui mengenai kemungkinan wujudnya perancangan untuk menjadikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor jika menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada Ahad.

Menurut Presiden PKR itu, sehingga kini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor seperti yang dipersetujui selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

"Tan Sri Khalid masih lagi Menteri Besar…saya tidak tahu (akan berlaku pertukaran menteri besar)," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PKR di Sungai Sekamat di sini, Sabtu.

PRK Kajang menyaksikan Wan Azizah bertanding menentang Barisan Nasional (BN) menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal dicalonkan bertanding selepas dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.

Sebelum ini spekulasi berhubung 'langkah Kajang' dikaitkan dengan rancangan untuk menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid.

Menerusi PRK Kajang yang akan diadakan esok, Wan Azizah berhadapan saingan satu lawan satu menentang wakin BN, Datin Paduka Chew Mei Fun.


Kajang, PKR, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Lain