suria

Polis Tembak Mati Dua Suspek Dipercayai Geng 21

KAJANG: Polis menembak mati dua suspek dipercayai ahli kumpulan Geng 21 dalam kejadian tembak menembak berhampiran sebuah tapak pembinaan di Ara Damansara, di Selangor malam Selasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kejadian itu berlaku 10.50 malam apabila suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira Aeroback, melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis yang mengejar mereka selepas mendapati mereka terperangkap di jalan mati.

Sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu membalas tembakan dan menembak mati suspek, katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang di sini Rabu.

Beliau berkata sepasukan polis terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota polis, sedang menjalankan rondaan mencegah jenayah menghampiri kereta suspek yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan PJU1A/9, Ara Damansara tetapi mereka memecut kenderaan itu.

"Bagaimanapun kereta terbabit berpatah balik kerana dipercayai memasuki jalan mati, seterusnya melepaskan beberapa das tembakan apabila bertembung dengan kenderaan polis yang mengikut dari belakang," katanya.

Mohd Shukri berkata polis dapat mencari perlindungan dan melakukan tembakan balas.

Kedua-dua suspek berumur 22 dan 26 tahun mati di tempat kejadian, katanya.

Mohd Shukri berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk seorang daripadanya pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 (POPOC) di Simpang Renggam pada 2008.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek turut menemui sepucuk pistol jenis LLAMA Cal 7.65mm(32), dua bilah parang, topeng muka dan sarung tangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun," katanya.
Geng 21, Ara Damansara

Artikel Lain