suria

PRK Kajang: BN Tubuh Badan Khas Bantu Rakyat Jika Menang

Muhyiddin (kiri) dan Chew (kanan) pada ceramah perdana di Taman Mesra di Kajang, Rabu malam. Foto NORAFIFI EHSAN / THE STAR
KAJANG: Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan satu badan khas bagi membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sekiranya parti itu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan pada Ahad ini.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, badan khas di bawah Kerajaan Persekutuan itu akan berperanan mengkaji keperluan rakyat Kajang jika calonnya, Datin Paduka Chew Mei Fun dipilih menjadi wakil rakyat.\

"Jika kita menang di Kajang, saya minta Datuk Seri Liow (Tiong Lai) tengok untuk tubuhkan satu badan...tangani masalah dan bantu jalankan tugas," katanya ketika berucap pada ceramah perdana di Taman Mesra di sini, Rabu malam.

Justeru Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pengundi DUN Kajang dinasihat supaya memilih seorang wakil rakyat yang boleh memberi perkhidmatan dan komitmen yang tinggi kepada rakyat.

Katanya, wakil rakyat yang baik ialah pemimpin yang mudah didekati serta mampu menyelesaikan masalah rakyat setiap kali diperlukan.

"Pengundi tak perlu rasa serba salah nak buat pilihan antara dua calon yang ada. Saya kira rakyat lebih senang nak jumpa Chew kalau beliau menang.

"Beliau tak ada banyak masalah keluarga, komitmen sepenuhnya boleh diberikan kepada rakyat Kajang.

"Saya tak fikir calon lawan boleh bagi komitmen yang tinggi seperti Chew nanti," katanya.

Selain itu Muhyiddin berkata, pengalaman Chew dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan juga merupakan satu bonus kepada khususnya untuk menangani masalah penduduk di Kajang.

"Chew sudah cukup bersedia untuk pikul tanggungjawab bantu rakyat Kajang," katanya.

Artikel Lain