suria

Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 Dan Bukit Tampoi Beroperasi Semula - SPAN

Sebelum ini penduduk Kampung Labohan Dagang mengambil air Tasik Kampung Bukit Tadom bagi kegunaan harian berikutan gangguan bekalan air yang berpunca daripada pencemaran ammonia di Sungai Langat sehingga memaksa Loji Rawatan Air Bukit Tampoi ditutup. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi telah beroperasi semula berikutan hujan turun sejak dua hari lalu menyebabkan paras ammonia di Sungai Langat menurun.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) berkata LRA Cheras Batu 11 mula beroperasi Isnin lepas, manakala LRA Bukit Tampoi bermula Rabu.

Dengan beroperasi semula kedua-dua loji itu, operator pengagihan iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah membekalkan air secara berterusan ke kawasan yang terlibat di bawah pelan pengagihan air berjadual peringkat pertama, menurut Span dalam kenyataan di sini Rabu.

Menurut Span, paras ammonia dalam air terawat di kedua-dua loji itu adalah kurang daripada piawaian yang disyaratkan oleh Kementerian Kesihatan, dan sekiranya paras ammonia di Sungai Langat meningkat semula, operasi LRA berkenaan akan dihentikan dan pengagihan air berjadual dilaksanakan seperti yang ditetapkan.

Sementara itu, Syabas dalam kenyataan di sini berkata pelan pengagihan air berjadual peringkat pertama dan ketiga masih diteruskan walaupun dua LRA berkenaan telah beroperasi semula.

"Dengan pelan catuan ini diteruskan, Syabas berharap pengguna sentiasa memberikan kerjasama ke arah mengurangkan penggunaan air dan berjimat cermat bagi membolehkan bekalan air sedia ada dapat bertahan lama," katanya.

Pengguna juga diingatkan agar tidak melakukan perkara terlarang seperti melakukan kerosakan terhadap fasiliti dan infrastrutur bekalan air termasuk pada jajaran paip kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada pengguna apabila bekalan air pulih seperti sedia kala," menurut Syabas.

Ribuan pengguna di Selangor dan Lembah Klang mengalami krisis bekalan air berikutan penutupan LRA Batu 11 Cheras dan LRA Bukit Tampoi sejak Januari lalu dan ditambah dengan musim panas menyebabkan paras air beberapa empangan utama menyusut.

Artikel Lain