suria

MH370: Keluarga Penumpang Diberi Taklimat Malam Ini

Antara keluarga penumpang MH370 yang akan diberi taklimat mengenai status terkini peswat tersebut pada malam Khamis.

CYBERJAYA: Keluarga dan waris penumpang-penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 akan diberi satu taklimat di Cyberview Lodge Resort& Spa di sini malam Khamis.

Selamat Omar, bapa kepada Mohd Khairul Amri yang menaiki pesawat itu, berkata perkara itu dimaklumkan kepada keluarga berkenaan oleh pihak Malaysia Airlines pada Khamis.

Beliau tidak pasti sama ada ia taklimat biasa anjuran syarikat penerbangan nasional itu dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) atau taklimat khas.

Namun, beliau percaya taklimat itu ada kaitan dengan penemuan dua objek di Lautan Hindi oleh pihak berkuasa Australia, katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya penemuan dua objek itu memberi harapan baharu kepada keluarganya setelah menanti perkembangan misi mencari dan menyelamat pesawat itu yang masuk hari ke-13.

Selamat berkata apapun berita yang bakal disampaikan, beliau dan keluarganya sedia menerimanya dengan redha.

Mohd Khairul Amri, 29, adalah antara 227 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat itu yang dalam perjalanan ke Beijing, China sebelum hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam Jumaat (8 Mac).

Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.20 pagi Sabtu (8 Mac)

Pagi Khamis, Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberitahu Parlimen di Canberra bahawa imej satelit negaranya menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat MAS itu.

Artikel Lain