suria

Program Pasar Segar 'My Best Buy' Dapat Sambutan Menggalakkan

Program My Best Buy yang buat pertama kali dijalankan pada Selasa, di bangunan Ibu Pejabat JKR, Kuala Lumpur menawarkan harga barangan runcit dan bahan mentah segar di antara lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran. -foto THE STAR
KUALA LUMPUR: Program pasar segar My Best Buy yang pertama kali diadakan pada Selasa bertujuan mengurangkan beban dan kos sara hidup penduduk di bandar mendapat sambutan menggalakkan.

Ketua Unit Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Mohd Arif Adenan berkata matlamat untuk menawarkan barangan runcit segar kepada pengguna pada harga murah berbanding harga pasaran dilihat berjaya menerusi program yang berkonsep jualan pasar ini.


"Buat pertama kali program My Best Buy diadakan pada hari ini (Selasa) dan ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna.

"Dengan barangan mentah segar yang dijual pada harga berpatutan dan lebih rendah berbanding harga pasaran, nyata program ini berjaya menarik perhatian orang ramai," katanya kepada mStar Online.

Beliau ditemui ketika melawat tapak jualan peniaga-peniaga di bawah program My Best Buy yang pertama kali dibuka kepada orang awam di bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya di sini, Selasa.

Mohd Arif meninjau harga ikan segar yang dijual kepada orang orang ramai dengan harga yang lebih murah pada hari pertama program My Best Buy dijalankan di Ibu Pejabat JKR, Kuala Lumpur, Selasa.


Mohd Arif berkata program ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu menawarkan harga di antara lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Katanya, program ini menyaksikan penglibatan secara langsung Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Antara yang dijual termasuklah hasil laut, sayur-sayuran dan barangan runcit lain di mana harganya ditentukan oleh pasaran semasa.

"Barangan yang dijual di sini tidak perlu melalui 'orang tengah' dan dijual secara terus dari pusat operasi Fama kepada pengguna, justeru harga barang memang dapat dikurangkan.

"Kebanyakan peniaga terdiri daripada usahawan-usahawan Fama dan mereka yang terlibat secara langsung dengan program Fama," katanya.

Mengulas lanjut Mohd Arif berkata sukarelawan iM4U akan memantau perkembangan harga barang yang dijual di pasar dan tapak-tapak perniagaan terpilih.

Jelasnya, program ini akan dijalankan di seluruh negara melibatkan bandar-bandar besar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

"Selain kawasan bangunan kerajaan, kita juga menyasarkan lokasi-lokasi awam yang menjadi tumpuan ramai seperti hospital, kilang dan kampus universiti," katanya.

Beliau berkata, program ini akan dijalankan secara berjadual dan promosi akan dikemaskini dari masa ke semasa bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat tentangnya seterusnya tidak melepaskan peluang membeli pada harga berpatutan.

Menerusi program hari ini, sebanyak tiga gerai menjual hasil laut dan hasil tani telah dibuka berserta tujuh buah karavan menjual makanan milik usahawan Fama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain