suria

MH370: Najib Hubungi Pemimpin Luar Negara Bantu Operasi Mencari

Najib menelefon beberapa pemimpin negara luar dari pejabatnya bagi mendapatkan bantuan mencari pesawat hilang MH370.
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menghubungi pemimpin pelbagai negara untuk mendapatkan bantuan mereka dalam usaha mencari penerbangan MH370 yang hilang.

Perdana Menteri berkata beliau telah bercakap dengan pemimpin-pemimpin di Turkmenistan, Kazakhstan, Bangladesh, India, Australia, Vietnam dan China.

Beliau, pada laman Facebooknya berkata akan terus membuat panggilan ke negara-negara yang diperlukan untuk turut serta membantu, memandangkan kawasan carian telah diperluaskan.

Perdana Menteri China Li Keqiang berkata operasi mencari dan menyelamat untuk kapal terbang yang membawa 227 penumpang, termasuk 154 warga China, kekal sebagai keutamaan, lapor China Daily.

"Walaupun kawasan carian semakin diperluaskan dan kesukaran semakin meningkat, selagi ada peluang, kami tidak akan berputus asa walaupun ia tipis," Li memberitahu Najib.

Li berkata China telah mengerahkan lebih daripada 10 buah kapal dan beberapa pesawat selain menggerakkan 21 satelit untuk menyokong usaha carian.

Li menggesa Malaysia untuk memberikan maklumat yang lebih komprehensif, tepat dan tepat pada masanya untuk mengecilkan skop dan merangka pelan carian baru.

Perdana Menteri Australia Tony Abbot membalas permintaan Najib dengan mengaturkan semula dua daripada pesawat rondaan maritimnya, AP-3C Orion untuk carian di selatan Lautan Hindi.

"Pada awal hari ini (Isnin) Perdana Menteri Malaysia telah menelefon saya untuk memberikan kemaskini kepada kerajaan Australia terhadap usaha carian pesawat MH370 yang hilang," katanya dalam satu kenyataan.

Abbot berkata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia akan menerajui dalam menyelaraskan carian di selatan Lautan Hindi, sambil menambah pesawat Orion telah memulakan mencari lautan ke utara dan barat Kepulauan Cocos.

Malaysia telah meminta Australia untuk memikul tanggungjawab secara keseluruhan untuk menyelaraskan carian di selatan Lautan Hindi.

Menurut laporan The Times of India, Najib menghubungi Perdana Menteri India, Manmohan Singh pada Ahad untuk mendapatkan bantuan teknikal dari India untuk menyokong kemungkinan laluan yang diambil oleh pesawat MH370.

Bernama memetik laporan bahawa Pesuruhjaya Tinggi India di Kuala Lumpur TS Tirumurti dan atase pertahanan India telah menghadiri satu mesyuarat dengan pegawai-pegawai tinggi Malaysia bagi mengatur strategi siasatan seterusnya.

Laporan itu juga berkata Najib telah menghubungi Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif dengan permintaan yang sama dengan kemungkinan Pakistan menjadi laluan pesawat yang mengalihkan laluannya.

Duta Vietnam ke Malaysia Nguyen Hong Thao berkata, kerajaannya akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Malaysia untuk mengenal pasti langkah yang paling perlu untuk menangani misi pencarian.

Artikel Lain