suria

MH370: Siasatan Dilakukan Terhadap Kemungkinan Bunuh Diri, Keganasan

KUALA LUMPUR: Setiap motif dan kemungkinan sedang diteliti untuk merungkai penyelesaian terhadap teka-teki kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Siasatan dilakukan dengan melihat sudut kemungkinan yang mempunyai kaitan dengan keganasan, rampasan dan bunuh diri.

Malaysia dan China sedang melihat kemungkinan dari sudut keganasan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari berkata manifest penumpang telah diserahkan kepada pihak polis supaya pemeriksaan latar belakang setiap penumpang dapat dijalankan.

"Kita tahu latar belakang anak-anak kapal dan kini pihak polis melakukan pemeriksaan terhadap latar belakang penumpang," katanya.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Beijing telah diminta untuk melihat sekali lagi manifest penumpangnya walaupun semua daripada mereka sebelum ini telah disahkan 'bersih'.

Butiran siasatan terhadap pasport yang dicuri dan digunakan oleh dua penumpang Iran akan didedahkan kepada umum.

Warga Iran, Pouri Nour Mohammad Merhdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29, menimbulkan kekacauan global apabila mereka dilaporkan terbang ke sini dari Doha menggunakan pasport Iran dan kemudian menggunakan pasport curi Austria dan Itali untuk menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke Beijing pada 8 Mac.

Siasatan awal menunjukkan bahawa Pouri Nour telah merancang untuk pergi ke Jerman bagi mendapatkan perlindungan dan bersatu kembali dengan ibunya di Frankfurt.

Pasport yang dipegang oleh Pouri Nour dan Delavar dilaporkan hilang di Thailand dalam tempoh dua tahun lalu.

Seorang pakar Amerika pula mengaitkan kehilangan pesawat berkemungkinan menjadi sebahagian daripada plot bunuh diri oleh anak kapal.

Seorang pakar keganasan memberitahu New York Post bahawa terdapat kata sepakat yang semakin meningkat bahawa ia disebabkan tindakan bunuh diri oleh juruterbang atau pembantunya.

"Mereka mahu pergi ke tempat sejauh mungkin dan di bahagian lautan yang paling jauh dan paling dalam," kata Pengerusi Jawatankuasa Kecil Dewan Keselamatan Dalam Negeri (Risikan dan Anti-keganasan) Rep Pete King (R -LI).

King berkata tindakan itu dibuat mungkin dengan harapan bahawa ahli keluarga boleh mendapatkan insurans hayat terhadap juruterbang atau pembantu juruterbang yang mati.

"Jika kapal terbang tidak dapat ditemui, ia tidak boleh dikatakan sebagai bunuh diri," dakwanya.

Hishammuddin tidak menolak kemungkinan apabila ditanya mengenai perkara ini, Isnin.

Difahamkan, polis juga melakukan penyelidikan pola tingkah laku anak kapal pada beberapa hari sebelum penerbangan.

King berkata Amerika percaya pesawat itu terbang ke arah Lautan Hindi selepas berpatah balik memandangkan beberapa tempat yang paling dalam di lautan terletak di sana.

King menyatakan keraguan terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang yang mengkin merancang kejadian, sambil menambah: "Salah seorang daripada mereka perlu menutup mulut salah seorang yang lain."

Pesawat yang terbang sehingga 45,000 kaki, seperti yang dicatatkan oleh radar tentera Malaysia mungkin telah mengkaibatkan penumpang di luar kokpit 'tidak berupaya' kerana pengurangan jumlah oksigen di dalam kabin, King memberitahu NYP.

Artikel Lain