suria

Siasatan Kembali Tumpu Dua Juruterbang MH370

Zaharie (kiri) dan Fariq.

PETALING JAYA: Pendedahan mengenai Sistem Pengendalian Komuniksi dan Laporan Pesawat (ACARS) yang dimatikan sebelum mesejnya yang terakhir dihantar menyebabkan penyiasatan kembali tertumpu kepada juruterbang.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu media pada Ahad bahawa ACARS telah dimatikan sebelum mesej itu dihantar.

Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa sistem itu dimatikan selepas hubungan suara yang terakhir.

Juruterbang itu berkata: "Baiklah, selamat malam" apabila Kawalan Trafik Udara Malaysia menyerahkan kawalan ke atas pesawat itu kepada Vietnam.

Bagaimanapun, masih tidak diketahui sama ada ia adalah suara juruterbang pesawat iaitu Kapten Zaharie Ahmad Shah atau pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid sebelum pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang dari radar dan mengubah laluannya 10 hari lalu.

ACARs menyediakan maklumat terperinci satelit mengenai pergerakan pesawat itu dan status semasanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah melakukan pemeriksaan di rumah Zaharie di Shah Alam.

Beliau berkata, simulator penerbangan juruterbang yang dipasang sendiri itu akan dilihat oleh pakar-pakar sebagai sebahagian daripada penyiasatan, sambil menambah bahawa penyiasat turut melakukan pemeriksaan di rumah pembantu juruterbang.

Ketua Polis Negara berkata, polis mengklasifikasikan siasatan di bawah Seksyen 130C Kanun Keseksaan, yang membolehkan penyiasatan bagi kesalahan rampasan, sabotaj, tindakan keganasan dan juga jenayah di bawah Akta Kesalahan Penerbangan, sambil menambah bahawa prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 ( Sosma ) akan dipakai dengan klasifikasi baharu siasatan.

"Ini bermakna kita telah mempergiatkan penyiasatan. Tumpuan kita masih di empat aspek iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan masalah psikologi - dan termasuk kakitangan di lapangan terbang dan semua orang," katanya pada sidang media mengenai MH370 pada Ahad.

Ketua Polis Negara berkata, polis menantikan jawapan daripada beberapa agensi polis asing yang membuat pemeriksaan latar belakang penumpang di dalam pesawat berkenaan. Bagaimanapun, kesemua 227 penumpang telah diperiksa oleh beberapa agensi perisikan asing.

Ditanya jika ini membawa kepada penumpuan siasatan terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang, beliau berkata: "Siasatan akan melibatkan semua orang di dalam pesawat itu."

Sebelum itu, Hishammuddin berkata, semua kakitangan Malaysia Airlines (MAS) di lapangan terbang yang terlibat dalam pengendalian MH370 turut disiasat, serta jurutera syarikat penerbangan itu yang berhubung dengan pesawat terbabit sebelum ia berlepas.

Bapa kepada jurutera penerbangan berusia 29 tahun, Mohd Khairul Amri Selamat, yang berada di dalam pesawat itu, enggan mengulas mengenai spekulasi bahawa seseorang di atas kapal sengaja mematikan sistem komunikasi.

"Saya tidak boleh mengatakan jika pesawat itu dirampas atau tidak," katanya. "Biar pihak berkuasa menyiasat kes itu. Tiada apa lagi untuk dikatakan," kata Selamat Omar, ketika dihubungi pada Ahad.

Artikel Lain