suria

Kerajaan BN Tidak Akan Berhenti Bantu Bumiputera - Muhyiddin

Muhyiddin bersama calon BN untuk PRK Balingian Sarawak, Yossibnosh Balo (dua, kanan) selepas diumumkan secara rasmi sebagai calon pada penamaan calon di Dewan Suarah, Mukah pada Isnin. - foto ZULAZHAR SHEBLEE/The Star
MUKAH: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan menghentikan apa-apa usaha yang telah dilaksanakannya selama ini untuk meningkatkan taraf hidup kaum Bumiputera, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, beliau berkata usaha itu akan dipertingkatkan lagi khususnya dari segi memperluaskan lagi peluang-peluang pendidikan dan perniagaan untuk Bumiputera.

"Kita telah membuat pelaburan yang banyak untuk menentukan anak bangsa Bumiputera maju di masa depan dan menyumbang kepada kemajuan negara.

"Selama ini kita telah melahirkan ramai anak Bumiputera yang berjaya dan kita mahu lebih ramai lagi anak Bumiputera untuk berjaya," katanya semasa berucap merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, Isnin.

Katanya kerajaan BN telah mewujudkan pelbagai agensi supaya kaum Bumiputera dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat-masyarakat lain.

Muhyiddin berkata kewujudan MRSM di bandar kecil seperti Mukah jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan BN untuk melebarkan lagi peluang bagi anak Bumiputera mendapat pendidikan.

"Sekolah-sekolah seperti ini (MRSM) tidak akan diwujudkan hanya di Semenanjung Malaysia atau di bandar-bandar besar sahaja. Kita mahu peluang untuk belajar ada di semua tempat di negara ini," katanya.

Berhubung pembangunan infrastruktur pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian di sini, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata beliau telah mengarahkan supaya pembinaan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tellian dan SK Balingian disegerakan bagi menampung keperluan pelajar di sini.

Katanya penyegeraan pelaksanaan kedua-dua projek ini bukan kerana pilihan raya kecil berlangsung di kawasan ini tetapi ekoran keutamaan kerajaan BN yang selama ini sentiasa mementingkan pendidikan untuk rakyatnya.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa anggota Kabinet negeri dan persekutuan turut hadir pada majlis itu.

Pilihan raya kecil DUN Balingian 29 Mac ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Yussibnosh Balo dan Abdul Jalil Bujang daripada PKR.

BN, PKR, PRK Balingian, MRSM, TPM

Artikel Sebelum

Artikel Lain