Empat Pelajar Hilang Di Gunung Bubu, Kuala Kangsar

Gunung Bubu.
KUALA KANGSAR: Empat pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar dilapor hilang, dikhuatiri sesat ketika menuruni Gunung Bubu di Ulu Kenas di sini, dalam kejadian petang Ahad.

Mereka ialah Muhammad Putera Rafii, Adam Asraf Azman, Muhammad Amir Asyraff dan Siti Azimah Mohd Fitri yang kesemuanya berusia 17 tahun, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Ismail Darus.

"Guru pengiring membuat laporan mengenai kehilangan tersebut setelah menyedari mangsa tidak dapat dikesan sejak pukul 2.30 petang Ahad," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Mereka merupakan sebahagian daripada 25 pelajar tingkatan lima kolej itu yang mengikuti program perkhemahan tiga hari dua malam di gunung berkenaan, diiringi enam guru.

Ismail berkata pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai penduduk pada 11.35 malam Ahad.

Operasi bersambung semula pada 7 pagi tadi membabitkan 114 orang termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, polis dan orang awam.

Sehingga pukul 3 petang ini operasi mencari dan menyelamat masih gagal menemukan keempat-empat pelajar terbabit.

Ismail berkata pasukan mencari dan menyelamat turut dibantu sembilan anggota badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai SOS, yang bermalam di puncak gunung dan akan memulakan operasi pagi Selasa.

Beliau berkata sebanyak empat kumpulan dibentuk iaitu kumpulan satu bagi pencarian di pesisir anak sungai manakala kumpulan dua, tiga dan empat akan mengikut laluan sedia ada.

Menyentuh kemungkinan mangsa mungkin kelaparan, Ismail berkata guru pengiring memaklumkan pelajar terbabit ada membawa minuman namun tidak dapat bertahan lama.

"Semua keluarga pelajar berkenaan telah dimaklumkan, dan anggota keluarga ada berada di sini dan diberi kemudahan penginapan," katanya.

Pos kawalan mencari dan menyelamat juga dibuka di kaki gunung berkenaan untuk bersedia menghadapi sebarang perkembangan operasi, katanya.

Ismail berkata operasi petang tadi disertai 127 orang termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Unit Udara Bomba, polis, NGO dan orang awam.

Operasi itu ditangguh pada 7 malam dan akan bersambung pagi Selasa, katanya.

Kumpulan pelajar itu mula mendaki Gunung Bubu, yang mempunyai ketinggian 1,657 meter dari paras laut, pada pukul 3.30 petang, Jumaat lepas dan menuruni gunung berkenaan pada Ahad.

Gunung Bubu, yang terkenal dalam kalangan pendaki tempatan, menyediakan Kem Sungai Gading dan Kem Batu Dinding untuk bermalam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Artikel Lain