suria

Gelombang Seismos Dikesan Selepas Pesawat MH370 Hilang Dari Radar

BEIJING: Satu kumpulan penyelidikan dari Universiti Sains dan Teknologi di China mengesan gegaran di lautan dekat sempadan Malaysia-Vietnam pada 8 Mac beberapa jam selepas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang dari skrin radar.

Dalam satu laporan yang disiarkan di laman web universiti itu, Kumpulan Penyelidikan Wen Lianxing berkata, mereka mengesyaki gegaran itu mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat MAS kerana kawasan itu “bukan dalam lingkungan zon gelombang seismos.”

“Insiden itu berlaku pada pukul 2.55 pagi pada 8 Mac, kira-kira satu setengah jam selepas MH370 terputus hubungan pada pukul 1.30 pagi.

“Salah satu daripada dua lokasi yang berkemungkinan (satu kawasan) kira-kira 116 kilometer timur laut di mana lokasi MH370 kali terakhir dihubungi,” katanya.

Kumpulan penyelidikan itu berkata, mereka mengesan gegaran itu dengan dua seismograf yang terletak di antara sempadan Malaysia dan mengesan lokasi itu dengan signal.

“Banyak negara menggunakan pesawat, kapal dan satelit untuk menjejaki pesawat yang hilang tetapi tidak menemui apa-apa.

“Jika gegaran ini sememangnya disebabkan oleh keadaan pesawat yang terhempas ke laut, maka darjah keseismosan menunjukkan bahawa proses terhempas itu membawa kecelakaan,” kata laporan itu.

Kumpulan Penyelidikan Wen Lianxing dari Fakluti Sains Bumi dan Angkasa di Universiti itu. Seramai empat penyelidik terlibat dalam projek itu.

Ketika dihubungi The Star, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (Teknikal dan Strategi), Dr Mohd Rosaidi Che Abas mengesahkan bahawa seismograf di stesen jabatan itu di Kulim dan Ipoh mengesan “gegaran” pada pukul 2.56 pagi pada hari berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pesawat MH370 menggunakan Boeing777-200ER membawa 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing. 

Artikel Lain