suria

Ditahan Selepas Sejam Meragut

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki yang dikehendaki polis ditahan, kira-kira sejam selepas dia dilapor meragut seorang lelaki di Bukit Tengah di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata lelaki itu ditahan di Bukit Minyak di sini, selepas polis mengejar kenderaannya sejauh dua kilometer dari tempat dia dikesan di Taman Belibis, Simpang Ampat, pukul 6 petang.

Polis juga terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan lelaki terbabit selepas tembakan amaran tidak diendahkan, sebaliknya dia cuba menghimpit kenderaan polis yang mengejarnya, kata beliau dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata lelaki berusia 29 tahun itu dikesan di Taman Belibis, Simpang Ampat ketika dipercayai merancang untuk menyamun mangsa lain.

Hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis menemui kad pengenalan milik seorang lelaki yang dilapor diragut di Bukit Tengah pukul 5 petang dan enam kad ATM pelbagai bank, katanya.

Shafien berkata kereta yang digunakan lelaki terbabit adalah kereta yang dilapor hilang di Semanggol, Perak pada 3 Mac lepas dan polis turut menemui pelbagai barangan, antaranya parang dan kunci pendua.

"Lelaki terbabit dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan lepas bersama rakannya berusia 20-an. Kedua-dua mereka memang dikehendaki polis Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata polis kini menggiatkan usaha untuk mengesan rakan lelaki terbabit yang dikenal pasti.

Polis, Ragut, Jenayah

Artikel Lain