suria

KPDNKK Pantau Kawasan Panas Dalam Operasi Tumpas Sindiket Penyeludupan Minyak

June Wong (kiri) memberi penerangan mengenai kerja-kerja editorial kepada Hasan (duduk) sambil diperhatikan oleh Alias (berdiri, dua, kanan) dan Roslan (kanan). YAP CHEE HONG / THE STAR

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memantau stesen minyak di kawasan panas (hotspot) di seluruh negara untuk menumpaskan sindiket penyeludupan minyak petrol dan diesel bersubsidi menerusi operasi bersepadu besar-besaran yang bermula bulan depan.

 

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, kira-kira 3,358 stesen minyak di seluruh negara akan dipantau dan tumpuan diberikan kepada stesen-stesen minyak yang berada di kawasan hospot.

 

“Kita memantau di tempat-tempat hotspot di sempadan, kawasan perindustrian berhampiran laut, jeti-jeti dan pangkalan haram.  

 

“Kita juga akan melihat trend pergerakan aktiviti-aktiviti di stesen-stesen minyak. Kita juga akan lihat pergerakan lori-lori tangki minyak, lori-lori yang keluar masuk di kawasan perindustrian, termasuk pangkalan haram yang menjadi sasaran aktiviti penyeludupan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek bersama wakil-wakil kementerian ke ibu pejabat Star Publications (M) Bhd di sini, Rabu.

Turut serta Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Zaidon Asmuni dan Ketua Pengarah Penguatkuasaan, Roslan Mahayuddin manakala Star Publications diwakili Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Editor Kumpulan The Star, June Wong.

Hasan  (kanan) sedang mendengar penerangan mengenai penerbitan akhbar The Star daripada Chun Wai. Foto YAP CHEE HONG / THE STAR

Mengenai lokasi pangkalan haram, Alias enggan mendedahkan butirannya secara terperinci tetapi berkata, berdasarkan maklumat risikan ia tertumpu di sempadan Thailand dan sempadan di selatan Semenanjung.

 

Alias berkata, operasi bersepadu itu akan melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Unit Pencegahan dan Penyeludupan (UPP), Rela termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

“Kerajaan kerugian RM1.2 bilion setahun disebabkan aktiviti penyeludupan minyak diesel dan petrol bersubsidi sedangkan kerajaan hanya berjaya membuat rampasan yang cuba diseludup bernilai kira-kira RM7 juta tahun lepas. Maka kita perlu memperkuatkan lagi operasi membanteras aktiviti dan sindiket ini dengan memantau kawasan-kawasan hotspot.

 

“Sudah tentu matlamat kita untuk menjadikan negara sebagai sifar penyeludupan minyak tetapi sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan dan membanteras aktiviti itu,” katanya.

 

Beliau berkata, antara modus operandi aktiviti penyeludupan melibatkan tangki kereta yang diubah suai bagi menampung sejumlah besar minyak.

 

“Ini bukan tangki minyak biasa tetapi yang telah diubah suai yang boleh menampung antara 200 sehingga 300 liter minyak,” katanya.

 

Alias berkata, tiada lagi amaran diberikan kepada stesen minyak yang berkompromi dengan aktiviti penyuludupan diesel dan petrol bersubsidi dengan menjualnya kepada sindiket, industri atau negara asing.

 

“Kita akan mengambil tindakan maksimum dengan segera terhadap operator stesen minyak dan kita tidak akan bertolak ansur dengan mereka sama sekali.

 

“Kita akan batal atau gantung lesen stesen minyak dan mengarahkan mereka (operator) untuk menghentikan operasi,” katanya.

 

Beliau menambah, lesen stesen minyak yang akan digantung atau dibatal itu meliputi lesen Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 dan lesen Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961. 

 

“Kita tidak mahu mereka yang diberikan lesen untuk melakukan perniagaan tetapi mengambil jalan mudah untuk mengaut keuntungan dengan menjual atau menyeldup petrol dan diesel bersubsidi kepada pihak lain,” kata Alias.

 

Selain operasi besar-besaran, Alias berkata, KPDNKK sedang mengkaji semula garis panduan penjualan petrol dan diesel bersubsidi di stesen-stesen miyak.

Artikel Lain