suria

Kes Di Sweden: Mahkamah Memikirkan Hukuman Khidmat Masyarakat

Azizul Raheem Awalluddin (kanan) dan isterinya Shalwati Norshal.
STOCKHOLM: Mahkamah di sini membincangkan kemungkinan memerintahkan hukuman khidmat masyarakat sebagai alternatif kepada hukuman penjara bagi pasangan Malaysia yang dituduh memukul anak-anak mereka sekiranya mereka didapati bersalah.

Hakim Daerah Mattias Möller berkata Azizul Raheem Awalluddin, Pengarah Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya Shalwati Norshal telah memberikan persetujuan kepada lembaga percubaan untuk mereka dikenakan hukuman khidmat masyarakat jika didapati bersalah.

"Kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun lembaga percubaan masih perlu melakukan pemerhatian jika terdapat risiko jenayah berulang, maka tiada keperluan untuk tempoh percubaan," kata hakim, Rabu.

Hakim Mattias juga menyatakan bahawa ibu bapa berkenaan telah dipenjarakan sejak ditangkap pada 18 Disember tahun lepas.

Sweden telah mengharamkan hukuman memukul kanak-kanak sejak 1979 dan ini bermakna Azizul dan Shalwati berdepan sehingga enam tahun penjara jika didapati bersalah memukul anak-anak mereka.

Walaupun khidmat masyarakat adalah alternatif kepada hukuman penjara, ibu bapa itu masih mempunyai rekod sabitan jenayah dalam jika didapati bersalah.

Peguam Shalwati, Kristofer Stahre mengemukakan laporan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia kepada mahkamah daerah Solna yang menyatakan akan ada kesan negatif kepada kerjaya Shalwati sebagai guru, sekiranya dia disabitkan bersalah.

Shalwati, yang seolah-olah dilihat mahu mengalirkan air mata, berkata buku salahlaku disiplin kakitangan awam menyatakan bahawa sabitan akan menyebabkan dia kehilangan pekerjaan dan kedudukan.

Peguam Azizul, Jonas Tamm juga menyatakan bahawa peraturan yang sama digunakan untuk anak guamnya, yang merupakan pencari nafkah tunggal bagi keluarga dengan pendapatan kira-kira 24,000 SEK (RM12,000) sebulan.

Kristofer kemudian memberitahu pemberita bahawa perbincangan kemungkinan melaksanakan hukuman khidmat masyarakat tidak bermakna mahkamah telah membuat keputusan dan hanya satu cara alternatif yang difikirkan.

Beliau berkata khidmat masyarakat boleh terdiri daripada sebarang perbuatan termasuk membantu warga tua, bekerja di sebuah kedai terpakai dan sebagainya.

"Tetapi kita tidak lagi sampai ke peringkat itu (keputusan bersalah). Saya bertekad untuk melihat Shalwati dibersihkan daripada semua caj," kata Kristofer.

Pada 10 Februari, Shalwati dan Azizul didakwa diatas kesalahan pencabulan hak integriti kanak-kanak secara kasar dengan memukul dan mendera kanak-kanak.

Kesalahan-kesalahan didakwa berlaku di rumah keluarganya di Spånga, pinggir bandar Stockholm, antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujah-hujah penutup mereka.

Dijangka hari ini menjadi hari terakhir perbicaraan dengan keputusan akan dikeluarkan selepas dua minggu kemudian.

Artikel Lain