suria

Penuntut USM Terkandas Di Gunung Jerai Ditemui

Gunung Jerai.

GURUN: Lapan penuntut lelaki dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang yang terkandas di Gunung Jerai di sini sejak petang Sabtu ditemui dalam keadaan selamat dan akan dibawa turun pada Ahad.

Kesemua pelajar berkenaan, dua daripadanya cedera akan dibawa mengikut laluan pejalan kaki menggunakan pengusung oleh anggota mencari dan menyelamat.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah Rahimi Ali berkata mangsa yang cedera dikenali sebagai SS Darwinder Raj, 27, cedera di tangan dan kaki dan Poon Chun Yip, 24, cedera di kaki.

"Kami menerima panggilan 8.13 malam Sabtu dan memulakan operasi mencari dan menyelamat pada 8.35 malam. Operasi melibatkan 41 anggota termasuk bomba, polis, Rela dan orang awam itu diteruskan pada Ahad dan kesemua lapan penuntut berkenaan ditemui pukul 9.17 pagi, kira-kira tujuh kilometer dari puncak gunung.

"Enam daripada mereka berada dalam keadaan selamat dan akan dibawa turun melalui laluan pejalan kaki ke kawasan kuari batu di Singkir, manakala dua lagi yang cedera akan dibawa turun menggunakan laluan sama sebelum dihantar ke Hospital Yan," katanya dalam sidang media di kaki Gunung Jerai, di sini.

Enam lagi penuntut yang terkandas dikenali sebagai Edwin Ng Yau Chen, 23, Redza Akhbar Ali, 23, Loh Khang Sheng, 23, Wong Kok Nian, 25, Hooi Man Yeap, 24, dan Ong Soon Lih, 24.

Rahimi berkata kesemua penuntut berkenaan tidak sesat namun terkandas kerana dua daripada rakan mereka mengalami kecederaan, dipercayai akibat tergelincir dan terjatuh.

"Difahamkan lapan penuntut itu sudah mendaki selama tujuh jam sebelum menghubungi kami menggunakan telefon bimbit untuk mendapatkan bantuan selepas rakan mereka cedera. Usaha menjejak mereka malam tadi mengalami kesukaran kerana walaupun dapat berhubung, namun mereka tidak dapat memberikan lokasi sebenar.

"Kita percaya pendakian dibuat awal pagi Sabtu menggunakan laluan di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok dan aktiviti itu dijalankan secara persendirian namun tidak dimaklumkan kepada mana-mana pihak.

"Justeru kami ingin mengingatkan agar individu atau kumpulan yang ingin melakukan pendakian agar memaklumkan pihak berkenaan terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pendaftar USM Khairul Erwan Abdul Halim ketika ditemui berkata kesemua penuntut berkenaan merupakan pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

"Kami memang tidak dimaklumkan mengenai aktiviti kumpulan pelajar ini dan difahamkan aktiviti ini dijalankan secara persendirian," katanya. - BERNAMA

USM Pulau Pinang, Gunung Jerai, Sesat

Artikel Lain