suria

Penyokong Anwar Cetus Kekecohan Di Pintu Masuk Istana Kehakiman

Anwar menuju ke bilik mahkamah selepas mahkamah berhenti rehat di Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman Putrajaya pada Khamis. - fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan kekecohan akibat rasa tidak puas hati selepas dilarang pihak polis daripada berkumpul di kawasan luar pintu masuk Istana Kehakiman di sini, Khamis.

Seorang penyokong lelaki berpakaian baju-t kuning, berjaket hitam berlambangkan perkataan 'Bersih' berusia lewat 50-an dilihat berunding dengan pihak polis dan melemparkan pelbagai perkataan provokasi untuk menimbulkan suasana tegang.

Namun setelah dinasihatkan secara baik oleh pihak polis, lebih 200 penyokong Anwar dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Indian Voice, Jingga 13, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Wanita (Wirda) serta Parti Sosialis Malaysia, bersurai.

Mereka berkumpul sejak awal pagi bagi menyatakan sokongan kepada Anwar yangprosiding rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan bermula Khamis.

Seorang penyokong tegar berusia lingkungan 60-an cuba mencetuskan suasana tidak sihat apabila melaungkan beberapa sajak yang mengutuk kerajaan sejak dari awal pagi.

Namun sehingga 12.15 tengah hari Khamis, kesemua penyokong masih berkumpul di luar pintu masuk untuk menantikan kelibat Anwar yang dijangka keluar melalui pintu hadapan Istana Kehakiman. - BERNAMA

Artikel Lain