suria

Pengguna Dilarang Berhenti Di Atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah

Seorang pegawai sedang memantau keadaan trafik di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. —BERNAMA

GEORGE TOWN: Pemandu, termasuk penunggang motosikal tidak dibenarkan menunggu atau berhenti di mana-mana bahagian Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk mengambil gambar.

Menurut Timbalan Pengurus Komunikasi Jambatan Kedua Sdn Bhd Azizi Azizan, tindakan akan diambil terhadap mereka yang ditangkap kerana berbuat demikian.

"Unit peronda jambatan dan polis akan melakukan pemerhatian pada setiap masa dan pemilik kenderaan digesa mematuhi arahan mereka," katanya.

Sejak jambatan itu dibuka kepada orang ramai kira-kira pukul 1 pagi Ahad, banyak kenderaan telah melanggar undang-undang dengan berhenti di atas jambatan untuk mengambil gambar.

Ada yang dilihat berhenti berhampiran bahagian tengah jambatan manakala ada juga yang berhenti di lorong kecemasan.

Pemandu dan penunggang yang berhenti di atas jambatan hanya akan meneruskan perjalanan jika terdapat anggota polis trafik muncul.

Sementara itu, kereta jenis Mercedes- Benz menjadi kenderaan pertama yang terlibat dalam kemalangan di jambatan itu, yang berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi Ahad walaupun dipercayai tidak ada orang yang cedera dalam kemalangan itu.

Ia menyebabkan kesesakan lalu lintas di jambatan dari Batu Kawan menuju ke bahagian pulau.

Artikel Lain