suria

Taib Kosongkan Kerusi Balingian Pada Jumaat

Tan Sri Abdul Taib Mahmud

MUKAH: Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengesahkan beliau telah menulis surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar mengenai hasratnya untuk mengosongkan kerusi DUN Balingian, berkuatkuasa Jumaat ini.

"Surat itu telah dihantar. Saya akan mengundur diri sebagai anggota DUN Balingian Jumaat ini," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan menghargai sumbangannya di sini, Rabu.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas sama ada calon pengganti di Balingian telah dikenal pasti.

Sebaliknya beliau menyerahkan kepada bakal Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, yang kini Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri untuk membuat keputusan kerana beliau tidak mahu mencampuri urusan politik atau pentadbiran negeri selepas ini.

Pada 12 Februari lalu, Taib mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai ketua menteri, berkuatkuasa 28 Feb dan upacara mengangkat sumpah jawatan bagi Adenan dijangka berlangsung pada hari yang sama.

Terdahulu ketika berucap, Taib berkata beliau yakin Sarawak akan terus menikmati pembangunan lebih pesat selepas beliau mengundur diri memandangkan negeri ini mempunyai pemimpin yang berpengalaman untuk memacu Sarawak ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

"Terima kasih atas sokongan anda kepada saya selama 50 tahun lalu terutama dalam tempoh 30 tahun lepas selama saya menjadi ketua menteri anda," kata beliau.

Taib menyandang jawatan ketua menteri Sarawak yang keempat selama 33 tahun.

Beliau berkata Sarawak mempunyai segala potensi untuk muncul sebagai negeri terkaya di Malaysia menjelang 2030 dengan syarat rakyatnya terus mengekalkan perpaduan yang kukuh dan semangat kerjasama.

"Melalui perpaduan dan kerjasama, kita mampu mencapai sesuatu yang di luar jangkaan untuk memacu pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi," katanya


Artikel Sebelum

Artikel Lain