suria

Adam Abdul Hamid Angkat Sumpah Jawatan Senator

Adam Abdul Hamid

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Exco kerajaan negeri Johor Datuk Adam Abdul Hamid pada Rabu mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Adam, yang juga bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Tenggara, dilantik buat pertama kali untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa Rabu.

Pelantikan Adam, 64, diusulkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 Khamis lepas, dan dipersetujui oleh semua anggota dewan.

Ketika ditemui pemberita, Adam berkata beliau akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dan berperanan sebagai penghubung antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat bagi membincangkan pelbagai isu berkenaan negeri Johor.

"Ini adalah kepercayaan yang diberikan kepada saya, maka saya akan menjadikan ia sebagai 'jambatan' menghubungkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat dengan mengetengahkan pelbagai isu termasuk soal pemilikan rumah bagi mereka yang berpendapatan sederhana rendah dan pembangunan," katanya.

Adam aktif berpolitik sejak dilantik Exco Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Hulu Langat pada 1974 dan jawatan terakhir dalam Umno ialah ketua Umno Bahagian Kulai.

Bekas ketua pemberita Utusan Melayu ini juga pernah dilantik pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).


senator, johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain