suria

Pesalah Daun Ketum Perlu Dikenakan Tindakan Lebih Berat - Pemadam

KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) mendesak kerajaan menyegerakan penggubalan undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap penyalahgunaan daun ketum.

Yang Dipertuanya, Datuk Johari Baharom berkata, tindakan harus diambil bukan sahaja terhadap penagih tetapi juga mereka yang terlibat menanam dan memproses daun itu.

Tumbuhan ini mudah didapati terutama di utara Semenanjung, malah terdapat ladang khas yang mengeksport daun ketum ke luar negara, katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat keempat Majlis Antidadah Pemadam Kebangsaan, di sini Isnin.

Menurut Johari, Thailand juga sudah mewujudkan undang-undang mengharamkan tumbuhan itu dengan memperuntukkan denda 500 Baht (RM50) bagi setiap helai daun ketum yang dimiliki oleh pesalah.

"Sebab itu kami mendesak Kementerian Dalam Negeri supaya segera mengambil tindakan dan meluluskan akta mengenainya di Parlimen pada tahun ini kerana pada masa ini ia tertakluk di bawah Akta Racun 1952," katanya.

Selain itu, Johari berkata, Pemadam juga mahu kerajaan menangani isu menghidu gam yang berleluasa terutama di Sabah dan Sarawak.

Pada masa yang sama beliau meminta kerajaan menambah peruntukan yang disalur kepada Pemadam bagi tujuan membanteras penyalahgunaan dadah.

Setakat ini, kerajaan menyalurkan RM1.3 juta kepada Pemadam untuk aktiviti itu namun jumlah berkenaan tidak mencukupi kerana Pemadam memerlukan sekitar RM12.5 juta setahun untuk menjalankan tanggungjawabnya, kata Johari. - BERNAMA

Artikel Lain