suria

Belasungkawa: Harun Pemimpin Politik Dan Agama Yang Berpendirian Teguh

Allahyarham Harun Taib
Allahyarham Harun Taib

TEGAS, berpendirian teguh dan tidak pernah henti memperjuangkan syariat Islam. Tiga perkara itu antara kesimpulan yang bermain di blog-blog dan laman sosial politik hari ini bagi memperingati pemergian Allahyarham, Datuk Harun Taib.

Ketua Dewan Ulama PAS berusia 71 tahun itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahiran (HSNZ), Kuala Terengganu pada pukul 12.17 awal pagi Sabtu.

Allahyarham meninggal akibat sindrom kegagalan fungsi pelbagai organ (MODS).

Harun meninggalkan seorang isteri dan lima anak.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Terengganu mendapat pengajian di Universiti Islam Madinah dalam jurusan Usuluddin sebelum ke peringkat sarjana siasah syariah di Universiti al-Azhar, Mesir.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang ada, beliau pada mulanya dikenali sebagai penceramah bebas yang sangat diminati masyarakat Islam sebelum beralih ke kancah politik dengan menyertai PAS.

Allahyarham pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir selama empat penggal bermula 1982 (Pilihan Raya Umum ke-6) sehingga 2004 pada PRU-11 dan sepanjang tempoh itu, beliau hanya kalah pada PRU-7.

Sepanjang berkhidmat sebagai Adun di Manir, Allahyarham telah mengasaskan sebuah madrasah di Kampung Kubang Lembek.

Madrasah tersebut menjadi platform beliau menyampaikan ceramah agama ketika orang ramai hadir membeli-belah pada pasar pagi setiap Jumaat.

Perjuangan Allahyarham terhadap Islam juga semakin menjadi perhatian rakyat sejak akhir-akhir ini apabila beliau tampil mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam.

Dalam isu tersebut, Allahyarham sentiasa mempertahankan pendirian Dewan Ulamak Pas yang mahu kalimah Allah hanya menjadi hak eksklusif orang Islam walaupun ia tidak disenangi pemimpin PAS lain.

Selain isu kalimah Allah, Allahyarham juga turut menyatakan bantahannya terhadap tindakan rakan parti dalam Pakatan Rakyat yang mengadakan perhimpunan haram, Blackout 505 di ibu negara selepas pilihan raya umum lalu.

Pemergian pemimpian PAS yang tidak pernah berkompromi dalam isu agama itu telah banyak mengingatkan ahli parti tersebut kepada Allahyarham bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor.

Bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. Namun bagi mencari seorang pemimpin seperti Harun ia mungkin mustahil atau terpaksa melalui proses yang panjang.

Hal ini kerana, pengetahuan akademik sahaja tidak mencukupi jika tidak diimbangkan dengan pengetahuan dan pemikiran bernas tanpa kompromi demi memperjuangkan nasib agama.

Artikel Lain